Jurulatih Menyelam Yang Maut Di Semporna Pernah Diugut Bunuh – Omar

SEMPORNA: Jurulatih selaman yang maut ketika aktiviti menyelam di Pulau Kalapuan, dekat sini Jumaat lalu pernah menerima ugutan bunuh.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata Zainal Abdun, 31, membuat laporan polis pada tahun lalu.

Berikutan itu, katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kematian mangsa serta meneliti semua bukti dari pelbagai sudut.

“Kita (polis) juga menjalankan siasatan ke arah laporan (polis) yang (pernah) dibuat si mati (Zainal),” katanya ketika kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke lokasi Zainal bersama dua pelancong warga China ditemui mati di Pulau Kalapuan di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Zainal bersama Zhao Zheng dan Xu Yingjie, 32, ditemui mati di Pulau Kalapuan, Semporna ketika aktiviti selaman.

Mengulas lanjut, Omar berkata penemuan awal siasatan dan keputusan laporan bedah siasat kematian ketiga-tiga mangsa yang dikeluarkan Hospital Tawau, pada Rabu lalu adalah selari angkara bom ikan dan polis sedang mencari saksi yang mendengar bunyi letupan pada hari kejadian.

“Penemuan awal kita adalah mangsa maut dipercayai akibat bom ikan dan hasil bedah siasat kematian pada Rabu lalu juga disahkan berpunca akibat kesan letupan bom ikan, dan ini selari dengan dapatan awal polis.

“Kita turut mencari saksi di pulau peranginan Kalapuan yang difahamkan ada mendengar bunyi letupan pada hari kejadian,” katanya lagi dan polis sebelum ini mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Omar berkata pihak berkuasa berhadapan cabaran bagi menangani aktiviti bom ikan yang semakin berleluasa sehingga ada yang mengakibatkan kematian.

“Penguatkuasaan tidak dapat dijalankan secara efektif disebabkan perairan (Sabah) yang begitu luas.

“Nelayan yang menggunakan bahan letupan ini juga begitu bijak, mereka menggunakan bot kecil yang senang lolos dengan melalui kawasan terumbu karang dan bot kita (penguat kuasa) tidak boleh lalui,” katanya.

Namun, katanya, cabaran itu bukan petanda polis serta pihak berkuasa lain akur dengan kekangan dihadapi, sebaliknya usaha akan dilipat ganda bagi menangani masalah berkenaan.

Selain itu, Omar bersetuju dengan keperluan pemantauan keselamatan oleh agensi keselamatan di tapak selaman terutama di kawasan yang ‘tidak biasa’ dijadikan tapak aktiviti menyelam.

“Kita minta mereka ini (pengendali perkhidmatan pelancongan selaman) melaporkan kepada agensi keselamatan berkaitan aktiviti mereka ke tapak selaman untuk mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pengusaha pelancongan memiliki lesen sebelum beroperasi.

“Begitu juga pelancong yang mahu berkunjung ke pulau misalnya di Semporna atau melakukan aktiviti selaman, perlu memastikan syarikat yang mereka upah itu adalah syarikat pelancongan berlesen,” katanya. BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *