“Gegaranya Sangat Kuat, Saya Sangka Gempa Bumi”

Keadaan tanah runtuh yang menjejaskan rumah Charleys di Jalan Tamparuli-Ranau di Kampung Balabakan Kiulu, Tuaran.

Bimbang runtuhan berulang

TUARAN: Empat beranak nyaris terperangkap selepas rumah dua tingkat didiami mereka ditimpa tanah runtuh di Jalan Tamparuli-Ranau di Kampung Balabakan, Kiulu di Tuaran, pada Isnin lalu.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, tanah dari lereng bukit setinggi 20 meter runtuh disusuli dua lagi runtuhan pada 9 malam dan keesokan harinya kira-kira 12 tengah hari.

Penghuni rumah berkenaan, Charleys Joseph, 37, berkata, ketika kejadian dia dan anaknya berusia lima tahun berada di tingkat atas, manakala suami dan seorang lagi anak mereka berusia sembilan tahun berada sedang menonton televisyen di tingkat bawah.

Keadaan tanah runtuh yang menjejaskan rumah Charleys di Jalan Tamparuli-Ranau di Kampung Balabakan Kiulu, Tuaran.
Keadaan tanah runtuh yang menjejaskan rumah Charleys di Jalan Tamparuli-Ranau di Kampung Balabakan Kiulu, Tuaran.

“Ketika itu hujan lebat dan tidak lama kemudian, kami dikejutkan dengan gegaran yang sangat kuat dan pada mulanya saya sangka berlaku gempa bumi.

“Tidak lama kemudian, suami menjerit memanggil saya turun dan terkejut melihat timbunan tanah dan air hujan memasuki tingkat bawah rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mujur runtuhan tanah tidak menimpa suami dan anaknya kerana jarak dari tempat mereka menonton televisyen kira-kira lima meter dari timbunan tanah berkenaan.

“Runtuhan itu menyebabkan dinding pada dua bilik tidur musnah dan terdapat timbunan tanah selain masuk sehingga ke ruang tamu, bilik tidur dan dapur.

Charleys berkata, satu laporan polis dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, hari ini.

Difahamkan juga, kerja pembersihan menggunakan jentolak dan lori dilakukan bermula pagi tadi tetapi terpaksa ditangguhkan disebabkan hujan.

Menurutya, dia dan keluarganya masih bimbang berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu dan berkemungkinan akan boleh menyebabkan berlaku runtuhan lagi.

Terdahulu, tinjauan mendapati terdapat sebuah rumah berhampiran lokasi turut terjejas apabila terdapat kesan retak pada lantai dan sebuah lagi kediaman berisiko sekiranya runtuhan berulang.

Harian Metro