Bunuh Pemandu Grab, Salah Seorang Tertuduh Dirujuk Ke Hospital

TUARAN: Mahkamah Majistret di sini, mengarahkan salah seorang tertuduh yang didakwa membunuh seorang pemandu Grab dirujuk ke hospital psikiatri untuk pemeriksaan lanjut.

Penolong Kanan Pendaftar Jessica Ombou Kakayun membuat arahan itu terhadap Amru Al Asy Japri, 24, setelah membenarkan permohonan peguam Aida Jaafar Mad Ariff.
Keputusan itu dilakukan sesuai dengan peruntukan Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah jika individu yang didakwa disyaki tidak sempurna akal.

Amru dan seorang warga asing Arsit Indanan, 20, yang bekerja sebagai tukang cuci kereta didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mereka didakwa dengan niat bersama membunuh Mohammad Hanafiee Jaffar, 27, pada 25 Mei antara jam 4 pagi hingga 5 pagi di dalam sebuah kenderaan, di tepi jalan Marabahai di sini.

Jika didapati bersalah atas pertuduhan terbabit, boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Terdahulu Aida menyatakan ayah Amru Al Asy gagal menemukan kad perubatan anaknya dan pihaknya sudah menulis surat kepada Hospital Mesra Bukit Padang.

Beliau yang mengemukakan surat balasan daripada pihak berkenaan menyatakan, tertuduh harus dibawa ke hospital untuk mendapatkan kad perubatan itu sendiri.

Sementara itu Pegawai Pendakwa Papilus Primus memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan perubatan dan kimia.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 Ogos terhadap kedua-dua tertuduh yang sekarang ini direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Dalam pada itu, Arsit tidak diwakili peguam.

Sumber : Utusan Borneo