Bapa Positif Dadah Ditahan Dera Anak Tiri

Gambar Hiasan

SIPITANG: Polis menahan seorang lelaki dipercayai mendera anak perempuan tirinya berusia lapan tahun di kawasan perumahan SFI, Sipitang.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan Khamis lalu selepas pihaknya menerima laporan daripada pihak hospital.

Sebelum itu katanya, mangsa dibawa gurunya ke hospital berdekatan kerana tidak sihat, namun pemeriksaan pegawai perubatan mendapati terdapat kesan lebam pada badannya.

“Doktor mendapati ada kesan kecederaan dipercayai akibat dipukul menggunakan tangan dan penyangkut baju.

“Laporan kemudian dibuat di Balai Polis Sipitang dan suspek ditahan di rumahnya untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Selain itu katanya, suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dia kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *