Polis Tahan 26 Individu Terlibat Dadah Di Tuaran

Sebahagian suspek yang ditahan di kawasan perumahan Taman Telipok Ria dalam Ops Sarang dibawa ke IPD Tuaran dengan trak untuk tindakan lanjut. Foto Arkib Ihsan PDRM

TUARAN, 8 Julai – Polis menahan 26 individu dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam operasi dijalankan sekitar daerah ini sepanjang tempoh dua minggu bermula 24 Jun hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Mohd Hamizi Halim berkata kesemua individu ditahan itu berumur 20 hingga 50 tahun dan siasatan mendapati kesemua individu terbabit disyaki penagih dadah jenis syabu.

“Seorang individu disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala 25 individu lagi disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Hamizi berkata operasi itu dijalankan berdasarkan risikan dan maklumat orang awam bagi membendung kegiatan penyalahgunaan dadah sekali gus mengambil tindakan ke atas sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan terbabit.

Operasi itu juga akan diteruskan sepanjang minggu melibatkan kawasan kampung serta taman perumahan di Tuaran dan lokasi serbuan akan berubah dari semasa ke semasa, katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Hamizi berkata, polis juga telah menahan seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun di sebuah rumah di Kampung Simpang Bunga, Tamparuli kerana disyaki memiliki 5.06 gram syabu pada 1 Julai lepas.

“Dadah itu dipercayai untuk tujuan diedarkan kepada penagih dadah tempatan di sekitar Tamparuli, dan suspek ditahan turut didapati positif syabu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

– BERNAMA