Didapati Membuang Sampah Di Tawau, Anda Ada Tiga Pilihan Vest Tertera ‘Kutu Sampah’, ‘Gorila Atau ‘Kerja Amal’

Antara jaket yang akan digunakan oleh pesalah yang membuang sampah di bandar Tawau. – Foto BESTAWAUfm

Polis bantu MPT pantau, ambil tindakan terhadap kutu sampah

TAWAU, 7 Julai – Polis siap sedia memantau serta mengambil tindakan terhadap individu yang didapati membuang sampah merata tempat di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata tindakan agresif itu bagi membantu Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dalam menguatkuasakan undang-undang sekali gus menangani masalah sampah di sini.

“Tindakan dikenakan terhadap individu yang membuang sampah itu bukan bertujuan menganiaya mereka sebaliknya sebagai langkah memberi kesedaran dan pengajaran.

“Saya rasa masyarakat akan lebih sedar dan kita lakukan ini untuk menegakkan undang-undang bukan mencari salah sesiapa tetapi untuk keselamatan dan kesejahteraan serta kebersihan daerah,” katanya ketika menyampaikan taklimat Ops Payung Bersepadu di Tamu Ahad Sabindo di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Peter berkata individu yang didapati membuang sampah akan diambil tindakan mengikut proses undang-undang yang ada.

“Bagi individu bersalah membuang sampah akan dikenakan kompaun serta perlu melakukan kerja amal mengikut tempoh masa yang akan diputuskan pihak berkuasa,” katanya lagi.

Sementara itu mengenai Ops Payung Bersepadu yang dilancar hari ini, Peter berkata operasi itu dilaksana bersama agensi penguatkuasa lain termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Jabatan Imigresen yang turut menguatkuasakan undang-undang, masing-masing.

“Sebagai permulaan pelaksanaan Ops Payung Bersepadu itu akan berada di kawasan Sabindo, dan pesisir pantai Traulsen, Tawau sebelum di perluas ke kawasan lain.

“Ops ini selaras menjayakan hasrat ke arah menjadikan Tawau bandar sejahtera dan indah

“Bagi yang membuang sampah, jika didapati akan dipaksa melakukan kerja amal mengutip sampah dengan memakai baju vest tertera nama ‘Kutu Sampah’, ‘Gorila atau ‘Kerja Amal’,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat dan peniaga memberi kerjasama pada operasi ini dengan mematuhi segala peraturan dan tidak membuang sampah merata tempat.

Seorang penjaja yang mahu dikenali sebagai Abdullah, 50, menyambut baik usaha pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pesalah buang sampah

Kata Abdullah, sebagai menyahut saranan pihak berkuasa, penjaja di sini akan memastikan kawasan gerai bersih dari semasa ke semasa.

– BERNAMA