Tidak Dengar Bunyi Letupan Bom

Dua daripada penyelam yang maut dipercayai akibat letupan bom ikan.

KOTA KINABALU: Polis mengesyaki kematian tiga termasuk dua pelancong China di Pulau Kulapuan, Semporna, semalam, akibat terkena bom ikan dan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya masih menyiasat kes itu termasuk menahan dua individu bagi membantu siasatan.

“Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kita menahan pemandu bot dan pembantunya untuk membantu siasatan.

“Setakat ini, kita percaya mereka yang maut adalah disebabkan bom ikan, namun hasil keterangan daripada beberapa individu termasuk beberapa pelancong China yang berada di kawasan berhampiran, mereka tidak mendengar bunyi letupan bom,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, kejadian itu berlaku antara 2.30 hingga 3.30 petang dan mereka dikatakan terlihat satu bot memancing di kawasan berkenaan.

“Terdapat tiga bot pelancong di kawasan itu juga dan dalam bot itu, ada dua pelancong, pengajar selam skuba, seorang pemandu bot dan pembantunya. Yang lain-lain itu ada di dalam dua bot tetapi tidak pasti berapa ramai dan mereka belum lagi menyelam.

“Pengajar selam skuba mengarahkan pemandu bot kembali ke jeti untuk mengambil tangki gas kerana bimbang kemungkinan mereka akan kehabisan gas oksigen yang dipakai.

“Jadi pemandu bot pergi ambil dan tinggalkan tiga penyelam berkenaan dan selepas kembali semula kira-kira sejam kemudian, didapati banyak buih di permukaan sebelum ternampak tiga penyelam itu di dalam air serta tidak bergerak.

“Pemandu bot mendapati banyak ikan mati, jadi dipercayai mereka terkena bom ikan. Pemandu bot itu kemudian memanggil penyelam lain untuk membantu mengambil semua mangsa.

“Kedalaman tempat kejadian adalah sedalam 5.8 meter,” katanya.

Dalam kejadian itu, Zainal Abdul, 31, yang juga pemegang dokumen IMM13 bersama dua lagi pelancong dikenali sebagai Zhao Zheng dan Xu Yingjie ditemui maut ketika melakukan aktiviti menyelam semalam.

Harian Metro