Buaya Tembaga Seberat 300KG Masuk Perangkap Besi

Buaya ditemui berada di dalam perangkap besi yang dipasang pihak Jabatan Hidupan Liar Sabah Bahagian Tawau. – Foto BESTAWAUfm

TAWAU, 6 Julai – Seekor buaya tembaga dengan anggaran berat 300 kilogram memasuki perangkap dipasang Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah di Sungai Pang Burung dekat sini, hari ini.

Pada pukul 6 pagi tadi, reptilia berukuran 4.27 meter panjang dengan 0.61 meter lebar itu ditemui masuk ke perangkap besi yang dipasang JHL di kawasan sasaran.

Buaya ditemui berada di dalam perangkap besi yang dipasang pihak Jabatan Hidupan Liar Sabah Bahagian Tawau. – Foto BESTAWAUfm

Pegawai JHL Tawau, Sailun Aris berkata penangkapan buaya itu adalah yang kedua selepas buaya seberat 500 kilogram ditangkap pihak JHL pada 13 Mei lepas.

“Buaya yang baharu ditangkap ini kita letak di kolam sementara di Tawau manakala buaya yang ditangkap sebelum ini kita hantar ke Taman Buaya Apas Parit, di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Sailun berkata JHL akan terus memasang perangkap buaya di lokasi berkenaan bagi memastikan keselamatan penduduk.

“Kita ada terima maklumat daripada orang awam di Pang Burung ini bahawa masih terdapat buaya di kawasan ini,” katanya lagi.

Pada April lepas, seorang warga emas rakyat Indonesia, Zainuddin Bedda, 61, dilaporkan dibaham buaya di Sungai Pang Burung.

-BERNAMA