Shafie Apdal Terima Kunjungan Syed Saddiq

Syed Saddiq (kiri) berbual mesra bersama Shafie dalam kunjungan hormat itu.

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal menerima kunjungan hormat Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Khamis.

Dalam pertemuan lebih kurang empat puluh lima minit di Parlimen, Syed Sadiqq menyatakan aspirasi beliau berhubung hala tuju belia di Malaysia, terutamanya dalam usaha kerajaan menyediakan lebih banyak ruang dan peluang kepada golongan belia, seiring dengan keperluan semasa.

Pada Rabu, Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 menurunkan takrifan umur belia kepada 15 hingga 30 tahun, diluluskan selepas dibahas hampir lima jam oleh 17 Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang.

Sementara Rang Undang-Undang bagi meminda Perkara 119 (1) (A) Perlembagaan Persekutuan untuk penurunan had umur mengundi pada usia 18 tahun dibentangkan pada Khamis di Parlimen.

RUU bagi meminda Perkara 119 (1) (A) Perlembagaan Persekutuan akan mencipta ruang demokrasi yang progresif di samping peningkatan kerelevenan pendidikan pengundi, kerana pada usia 18 tahun, belia sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Jika RUU itu diluluskan ia dijangka bakal meningkatkan jumlah pemilih di Malaysia.

Di Asean, hanya Malaysia dan Singapura yang masih menetapkan had umur mengundi 21 tahun berbanding negara anggota yang lain.

Shafie berada di Kuala Lumpur semenjak awal minggu ini bagi menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen ke Empat Belas (2019) dan juga Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara.

Utusan Borneo