Penyelidik UMS Terima Geran RM150,000 Untuk Projek Penyelidikan Antartika

KOTA KINABALU: Seorang penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima Anugerah Geran Penyelidikan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) 2019 bernilai RM150,000 baru-baru ini.

Pensyarah Kanan Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS, Dr Nur Athirah Yusof menerima anugerah berkenaan melalui kertas kerja penyelidikan yang berkaitan dengan kajian terhadap kulat Antartika dan respon terhadap ‘heat stress’.

Majlis penyampaian geran disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada upacara pembukaan ‘8th Malaysian International Seminar on Antartica’ di Selangor baru-baru ini.

Nur Athirah berkata, beliau sebenarnya tidak menjangka terpilih sebagai salah seorang daripada enam penerima geran.

“Saya berterima kasih kepada YPASM atas kepercayaan yang diberikan, penyelidikan ini akan dilaksanakan selama tiga tahun sehingga tahun 2022.

“Penyelidikan saya akan lebih memfokuskan kepada perubahan iklim iaitu tentang bio petanda dalam sampel mikrob dari Barat dan Utara Antartika bagi mengenalpasti akibat daripada perubahan iklim kepada benua Antartika,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Untuk rekod, Dr Nur Athirah juga mempunyai pengalaman membuat penyelidikan dalam bidang kajian pola di Antartika selama sembilan tahun sejak tahun 2010.

Utusan Borneo