Pukki Kekal Lagi Tiga Tahun Di Norwich City

Pukki bersama trofi kejuaraan Championship. – Gambar Agensi

Penyerang Norwich City, Teemu Pukki menandatangani kontrak baharu tiga tahun dengan pilihan lanjutan setahun, umum kelab Liga Perdana itu, hari ini.

Pukki, 29, dari Finland menyertai Norwich pada Jun 2018 dari kelab Denmark, Brondby dan menjaringkan 30 gol dalam semua kejohanan ketika skuad Canaries menamatkan saingan Liga Kejuaraan musim lalu selaku juara.

Selepas tiga tahun tersisih, Norwich kembali ke kancah Liga Perdana.

“Saya memperoleh tahun yang mengagumkan di sini dan semua orang memudahkan kehidupan saya dan keluarga sehingga saya merasakan seperti berada di negara sendiri. Kami semua amat gembira untuk tinggal di sini lebih lama,” kata Pukki.

“Persembahan kami musim lalu pasti akan banyak membantu kami musim ini. Saya fikir persefahaman yang kami miliki akan menjadi kekuatan kami dan membantu pemain baharu untuk menyesuaikan diri.”

Norwich akan memulakan kempen Liga Perdana bertemu naib juara liga musim lalu, Liverpool pada 9 Ogos ini.

“Sejurus ia (jadual) keluar, saya melihatnya dan ramai ahli keluarga saya adalah peminat Liverpool jadi bagus untuk memulakannya di sana,” kata Pukki. “Kami akan ke sana dan cuba melakukan yang terbaik dan berharap pulang dengan keputusan yang diharapkan.” – REUTERS