Ceroboh Tanah Di Likas, DBKK Keluar Kompaun Ke Atas Individu

Tan Lee Fatt, empat dari kiri, bersama Safar Untong, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur dan pegawai lain di di Teluk Likas pagi Khamis.

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengeluarkan kompaun ke atas individu dikenali Arshad Ghani yang menceroboh tanah di Teluk Likas dan mendakwa telah mendapat kebenaran daripada Yang Dipertua Sabah serta kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri Likas, Tan Lee Fatt berkata, selain kompaun, DBKK akan mengusir dan mengarahkan kesemua barangan termasuk jengkaut yang digunakan lelaki itu dibawa keluar dari kawasan tanah tersebut dengan segera.

Lee Fatt berkata, kompaun tersebut dikeluarkan pagi ini selepas beliau bersama DBKK dan pihak Jabatan Tanah dan Ukur hadir sendiri ke lokasi selepas menerima aduan daripada orang ramai.

“Itu bukan kawasan saya tetapi disebabkan ada aduan dan sudah tular maka kami turun membuat tinjauan, DBKK telah keluarkan kompaun dan usir individu tersebut,” katanya ketika dihubungi Borneo Today.

Sementara itu, difahamkan pihak DBKK akan memohon perintah mahkamah dalam kadar segera untuk memastikan kesemua penceroboh di tanah itu diusir.

Semalam, tular sebuah video berdurasi 47 saat menunjukkan seorang lelaki iaitu Arshad sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan berkenaan.

Ketika ditanya oleh individu yang membuat rakaman, Arshad mendakwa dia telah mengemukakan permohonan kepada Yang Dipertua Sabah, Ketua Menteri serta DBKK untuk membangunkan tanah itu.

Salinan surat itu turut ditularkan di laman sosial tentang permohonan tanah berkenaan, namun tiada sebarang kelulusan diberi menyebabkan timbul kemarahan orang ramai terhadap perbuatan Arshad.

Dalam pada itu, Lee Fatt berkata, beliau tidak boleh mengesahkan tentang kebenaran dakwaan lelaki tersebut, namun perkara itu telah diuruskan sebaik-baiknya oleh pihak berkuasa berkaitan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *