Yusof Galak PPD Anjur Perayaan Erat Perpaduan Pelajar Pelbagai Kaum Di Negeri Ini

PENAMPANG, 3 Julai – Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob menggalakkan Pejabat Pendidikan Daerah menganjurkan sambutan perayaan bertujuan mengeratkan lagi perpaduan dan keharmonian antara pelajar pelbagai kaum di negeri ini.

Beliau berkata, penganjuran majlis seumpama itu juga adalah pendekatan terbaik mendidik generasi muda untuk menjadi masyarakat yang menghargai suasana keamanan dan sentiasa hidup harmoni dalam kepelbagaian kaum.

“Ia juga mampu mengukuhkan nilai toleransi dalam kalangan generasi muda khususnya dalam konteks negeri kita yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama selain mencerminkan budaya hidup sederhana masyarakat Sabah,” katanya berucap pada Sambutan Aidilfitri Pendidikan Khas Integrasi anjuran PPD Penampang di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah Jenifer Lasimbang.

Sebanyak sembilan sekolah melaksanakan Pendidikan Khas Integrasi serta Program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan sekitar Penampang dan Tuaran memeriahkan sambutan Aidilfitri yang dimeriahkan dengan kehadiran lebih 300 orang terdiri daripada guru, ibu bapa dan pelajar sekolah terbabit.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *