Nelayan Hilang Di Pantai Emas Ditemukan 100 Meter Dari Bot

Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang ditemukan berdekatan Batu Gadung perairan Nanamun Pantai Emas petang tadi.

KOTA BELUD: Nelayan yang dilaporkan hilang semasa memukat di perairan Kuala Pantai Emas Selasa lalu berjaya ditemukan oleh rakan nelayan lain, petang tadi (Rabu).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu kenyataan berkata mangsa Sapuan Saiman, 60, ditemukan pada jam 4.42 petang ketika pencarian hari kedua di perairan terbabit.

Beliau berkata mayat mangsa ditemukan oleh rakan nelayan lain yang turut serta dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada jarak 100 meter dari kawasan bot mangsa terdampar.

Katanya mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam laut semasa menyelamatkan diri ke jeti berdekatan selepas angin kencang melanda kawasan mereka memukat.

Dua rakannya bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri sampai di jeti dan selepas menunggu hampir empat jam mereka kemudiannya memaklumkan kejadian kepada keluarga mangsa sebelum usaha SAR dijalankan.

Anak mangsa menemukan bot tanpa pengemudi di perairan Tubu-Tubu Nanamun dan pukat serta gelen berkapasiti 10 liter turut hilang.

Operasi SAR dijalankan bersama beberapa agensi keselamatan lain termasuk Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti nelayan lain.

Utusan Borneo