Mayat Ditemui Di Tebing Sungai Tamparuli Disahkan Mangsa Kemalangan

Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

TUARAN: Mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan masih bertopi keledar di Sungai Tuaran berhampiran Kampung Bantayan, Tamparuli, di sini, Jumaat lalu disahkan mangsa kemalangan motosikal.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, berkata hasil siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal melalui Jambatan Lama Tamparuli.

Bagaimanapun katanya, mangsa dipercayai terjatuh ketika menunggang motosikal di laluan berkenaan.

“Mangsa dipercayai hilang kawalan dan terjatuh sebelum dihanyutkan arus sungai sejauh tiga kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

“Polis akan mengesan motosikal yang digunakan mangsa. Selain itu, hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, penduduk di daerah ini diminta tidak membuat spekulasi bagi mengelak kebimbangan menular dalam kalangan penduduk sekitar.

Katanya, setakat ini kes ini diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa, Walter Jaimis Charles, 46, berasal dari Kampung Kotunuan Baru, Kiulu ditemui sekumpulan pemancing, di tepi Sungai Tuaran.

Mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan tertiarap di sungai berkenaan bagaimanapun menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai.

Difahamkan, mendiang akan dikebumikan hari ini, di Tanah Perkuburan Kristian di Kampung Kotunuan Baru, Kiulu.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *