Kerajaan Sabah Komited Kurangkan Kadar Pengangguran – Shafie

Ewon Benedick menyampaikan replika cek RM200,000 kepada Dompok.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited memajukan belia dan melipatgandakan usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, walaupun baru setahun menerajui negeri ini, kerajaan baharu bertekad menarik sebanyak mungkin pelabur untuk melabur di negeri ini, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.

Sehubungan itu, beliau meminta pelbagai pihak termasuk swasta supaya membantu kerajaan merealisasikan misi memartabatkan pendidikan dengan menghulurkan apa juga bantuan termasuk kewangan kepada institusi pendidikan seperti Monfort.

Ewon (tengah) memotong kek bersama para pemimpin pada majlis itu.

Katanya menerusi kerjasama seumpama itu, usaha membantu para belia mampu direalisasikan.

“Saya berterima kasih kepada semua golongan dermawan kerana bermurah hati mengumpul dana untuk membantu mengembangkan potensi belia kita,” katanya dalam teks ucapan sempena perasmian Malam Amal dan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Pusat Latihan Belia Montfort (MYTC), di Grand Ballroom, Magellan Sutera Resort, di sini, pada malam Sabtu.

Ewon ketika berucap pada majlis itu.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah MYTC Tan Sri Bernard Dompok, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon, Menteri Belia dan Sukan Phoong Jin Zhe, Bishop John Wong dan Pengarah MYTC Frederick Mah.

Mohd Shafie turut memuji kerjasama antara Montfort dan Persatuan Pemilik Estet Malaysia, IJM Plantations dan Eurostar Tractors (M) Sdn Bhd memulakan kursus baharu dalam program perladangan kelapa sawit.

“Ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terutamanya pada peringkat penyeliaan dan saya percaya satu hari nanti mereka akan menjadi penyumbang kepada sektor perladangan.

Ewon (tengah), bersama Frankie (tiga dari kiri), Phoong (dua dari kanan) dan Dompok (dua dari kiri) bergambar pada majlis itu.

“Saya dimaklumkan bahawa, Misi Montfort ialah memperkasakan belia iaitu dengan mengasah sepenuhnya bakat serta potensi mereka agar memperoleh peluang pekerjaan.

“Montfort juga memberi tumpuan kepada belia di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai peluang pendidikan, belia yang berhenti belajar dari sekolah arus perdana dan memerlukan pembentukan keperibadian tanpa syarat akademik. Usaha institusi ini harus dipuji dan perlu diberikan sokongan secara berterusan,” katanya.

Pada majlis itu MYTC menerima sejumlah RM235,000 dana sumbangan daripada pelbagai pihak iaitu geran peruntukan RM200,000 daripada kerajaan negeri, RM20,000 (Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat), RM10,000 (Majlis Perundingan Belia Negeri Sabah) dan RM5,000 (Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah).

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *