Kundasang Akan Jadi Pengeksport Pelbagai Jenis Sayur-Sayuran – Junz

RANAU, 30 Jun – Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri Sabah (MAFI) Junz Wong berkata, Kundasang akan diubah menjadi pengeksport pelbagai jenis tanaman dan sayur-sayuran.

Katanya, kementeriannya itu bersama para petani dan juga agensi yang berkaitan akan melaksanakan rancangan bagaimana untuk mencapai hasrat tersebut.

Datuk Junz wong (berbaju putih) melawat Aquafarm Kundasang Di Mesilau, dan Azizul Julirim Pemilik Aquafarm (kiri).

“Kami juga telah membincangkan mengenai menjenamakan Kundasang sebagai produk sihat, hijau dan organik/ bebas kimia dan sayur-sayuran berkualiti tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Junz berkata Kundasang pernah mempunyai imej sebagai pengeluar sayur-sayuran yang mempunyai kandungan bahan kimia pada paras tinggi dan kementerian mahu mengubah persepsi tersebut.

Katanya, MAFI akan melaksanakan beberapa inisiatif untuk mempromosikan dan menggalakkan petani menggunakan kaedah hijau, organik dan sihat.

“Salah satu inisiatif tersebut termasuklah sistem hidroponik dan akuaponik yang hijau, mapan, berkhasiat dan lazat,” katanya.

— BERNAMA