Kerajaan Sabah Syor Pesta Igal Igal Dijadikan Cara Tahunan

KOTA KINABALU, 30 Jun – Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri mengesyorkan Persatuan Artis Bajau Negeri Sabah menganjurkan Pesta Igal Igal sebagai acara tahunan persatuan berkenaan.

Menterinya, Datuk Christina Liew, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata usaha tersebut dilihat mampu menjadi platform memartabatkan lagi warisan kebudayaan etnik tersebut sekali gus memperkenalkan keunikan seni tarian Igal Igal kepada umum.

“Usaha badan bukan kerajaan mengadakan program seni budaya di Sabah sentiasa dialu-alukan ke arah perpaduan rakyat. Program ini mampu memberi impak besar kepada Sabah terutama dalam sektor pelancongan dan ia perlu diteruskan supaya seni masyarakat tempatan tidak hilang ditelan zaman,” katanya, dalam ucapan pada Majlis Penutup Pesta Igal Igal (Kebudayaan) Sabah kali kedua, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal P. Alian.

Sementara itu, Assafal, ketika ditemui Bernama, turut mencadangkan persatuan berkenaan menambahbaik konsep penganjuran program itu dengan memperkenalkan kategori khusus menggabungkan penyertaan persatuan etnik lain di Sabah.

Menurutnya, program kesenian dan kebudayaan itu tidak hanya berperanan sebagai produk pelancongan di Sabah bahkan ia juga mampu menjadi produk penyatuan bangsa di negeri ini.

Penganjuran Pesta Igal Igal pada tahun ini yang berlangsung sejak Jumaat lepas telah menarik seramai 50 peserta dari seluruh Sabah berbanding kira-kira 40 peserta tahun lepas.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *