Polis Buru Suspek Rompak Kedai Kek Guna Parang Di Penampang Bypass

Mohd Haris Ibrahim menunjukkan lakaran wajah suspek utama membabitkan kes samun sebuah kedai kek di Villa Tropikana, Jalan Penampang Bypass, Selasa lalu ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang. – Foto ihsan PDRM

Suspek rompak kedai kek guna parang diburu

PENAMPANG: Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan suspek utama kes rompak sebuah kedai kek di Villa Tropikana, Jalan Penampang Bypass, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata hasil siasatan dijalankan, pihaknya berjaya mendapatkan lakaran wajah suspek berdasarkan keterangan mangsa dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau berkata, dalam kejadian jam 9 malam, suspek yang bertindak agresif sendirian masuk ke kedai kek itu dengan membawa sebilah parang untuk menakutkan pekerja di premis terbabit.

“Suspek yang memakai helmet berwarna kuning kemudian mengambil mesin tunai sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal.

“Tiada sebarang kecederaan pekerja premis itu dilaporkan. Kejadian membabitkan kerugian wang tunai sebanyak RM300 dan mesin tunai bernilai RM3,000,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Haris berkata, polis percaya suspek sama terbabit dalam dua lagi kes yang dilaporkan berlaku di Bundusan dan Donggongon sebelum ini.

Beliau berkata, ia berdasarkan modus operandi jenayah dilakukan dan keadaan fizikal suspek yang diperoleh hasil siasatan polis.

“Orang ramai yang ada maklumat mengenai kes ini atau suspek boleh menyalurkannya kepada polis dengan menghubungi Inspektor Mohamad Hafiz Yaacob melalui talian 013-4046617.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana merompak bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *