MA63: Sabah Boleh Tuntut Di PCA Jika Rundingan Dengan Kerajaan Persekutuan Gagal

JELANI HAMDAN

KOTA KINABALU: Sabah tidak mempunyai locus standi untuk membawa kes tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke dalam Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), namun perkara itu boleh dirujuk ke Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) jika rundingan dengan Kerajaan Persekutuan gagal.

Presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah (Samora), Datuk Jelani Hamdan berkata, sebagai perjanjian antarabangsa yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sabah tidak boleh dihalang untuk merujuk kes tersebut ke PCA bagi mencari jalan penyelesaian terhadap setiap pelanggaran dalam MA63 oleh Kerajaan Persekutuan.

Beliau yang juga seorang pengamal undang-undang berkata, langkah untuk membawa tuntutan MA63 ke peringkat antarabangsa bagaimanapun perlu menjadi pilihan terakhir kerana adalah lebih baik jika pertikaian yang timbul diselesaikan secara rundingan terlebih dahulu.

“Bila didaftarkan di PBB pada tahun 1976, MA63 telah menjadi perjanjian antarabangsa dan tidak lagi tertakluk kepada British sahaja maka undang-undang ini kalau dilanggar Sabah ada remedy iaitu kalau dilanggar apa yang perlu kita buat serta di mana mahkamah yang layak.

“Persoalannya adakah Sabah layak bawa kes ke ICJ, tidak boleh, jadi kalau macam begitu bagaimana mahu menuntut hak kita, maka ICJ ada banyak komponen antaranya PCA seperti kes Iran menentang Amerika Syarikat (US) tahun lalu apabila Iran menuntut dana RM2 bilion yang dibekukan oleh US,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

MA63 yang didraf British mengikut Akta Parlimen telah ditandatangani oleh Singapura, Malaya, Sabah dan Sarawak sebagai salah satu syarat pembentukan Malaysia.

Bagaimanapun, sejak dokumen tersebut ditandatangani sehingga ke hari ini, pelaksanaannya masih belum dibuat terutama berkaitan kuasa autonomi Sabah dan Sarawak menyebabkan kedua-dua negeri itu menuntut supaya MA63 dilaksanakan.

April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, namun tidak diluluskan kerana gagal mendapat undi majoriti dua pertiga.

Jelani yang baru menghabiskan kursus undang-undang antarabangsa selama sebulan bersama ICJ di The Hague, Belanda berkata, pelaksanaan MA63 kini bergantung kepada keputusan Kerajaan Pakatan Harapan melalui rundingan dengan Sabah dan Sarawak, namun kedua-dua negeri perlu menilai sama ada mahu menunggu sehingga 20 tahun lagi atau menpercepatkan pelaksanaannya.

Mengulas tentang langkah Ahli Parlimen Sarawak yang berkecuali semasa undian di Dewan Rakyat, Jelani menjelaskan secara peribadi beliau turut melihat pindaan tersebut hanyalah kosmetik.

Ini kerana katanya, dua perkara perlu dinilai iaitu adakah pindaan yang mengembalikan perkataan asal Perlembagaan sama dengan MA63 sudah cukup atau perlu disertakan dengan penambahbaikan supaya hak Sabah dan Sarawak dapat dicapai sepenuhnya.

Beliau menjelaskan contoh terbaik adalah Perjanjian United Kingdom (UK) yang memberi kuasa autonomi kepada wilayah-wilayah terlibat iaitu Wales, Scotland, England dan Republik Ireland.

“Pada pendapat saya itu pindaan kosmetik kerana masih terikat dengan Perlembagaan Persekutuan 1957 ini bermaksud Sabah cuma sebuah negeri tanpa keistimewaan.

“Jadi kalau mahu kekalkan perkataan asal Perlembagaan boleh cuma disertakan dengan pindaan Perkara 160 supaya tidak terikat dengan 1957, Perdana Menteri sudah bagi peluang untuk berunding dan kita ada menteri undang-undang dari Sabah sepatutnya beliau faham kalau sendiri tidak pandai apa boleh buat,” tambahnya.

BorneoToday