CIDB Keluarkan Notis Kepada Tiga Sub Kontraktor Hospital Besar Tawau Untuk Tampil Ke Pejabat

TAWAU, 26 Jun – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di sini hari ini mengeluarkan notis kehadiran kepada tiga sub kontraktor pembinaan bangunan tambahan Hospital Besar Tawau untuk tampil ke pejabat badan berkanun itu.

Ketua Cawangan CIDB Tawau, Hassan Ismail berkata, tujuan notis itu bagi siasatan beberapa perkara berhubung pendaftaran syarikat berkenaan.

“Selain notis itu, tiga sub kontraktor ini dikenakan kompaun oleh Jabatan Kesihatan kerana tapak pembinaan itu dikesan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan operasi di tapak pembinaan bangunan tambahan di Hospital Besar Tawau di sini, hari ini.

Operasi bersepadu dijalankan CIDB itu turut disertai Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) dan Suruhanjaya Tenaga dengan kekuatan 36 anggota penguatkuasa.

Hassan dalam pada itu berkata, operasi yang dijalankan itu bagi mewujudkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan undang-undang supaya tugas menguatkuasa menjadi lebih mudah dan berkesan.

Sementara itu, Hassan berkata sejak Januari hingga hari ini, CIDB Tawau, mengeluarkan 44 notis kepada beberapa kontraktor utama dan sub kontraktor di Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna atas pelbagai kesalahan.

“CIDB juga telah membuka lima kertas siasatan ke atas beberapa kontraktor atas pelbagai kesalahan,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *