Dua Penagih Terlibat Kes Pecah Rumah Ditahan Di Kampung Buli Sim Sim

Kedua-dua suspek ditahan bersama barang rampasan.- Foto IPD Sandakan

SANDAKAN: Polis Sandakan berjaya menahan dua lelaki penagih dadah termasuk seorang yang mempunyai rekod jenayah lampau di sebuah bilik sewa di Kampung Buli Sim-Sim, pada petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner (ACP) Mohd Azhar Hamin berkata suspek berumur 30 dan 38 tahun disyaki terlibat dalam kes pecah rumah diberkas polis selepas menerima maklumat daripada orang ramai.

Antara suspek yang ditahan Foto IPD Sandakan
Antara suspek yang ditahan Foto IPD Sandakan

“Kira-kira jam 6.30 petang, bertindak atas maklumat orang ramai, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sandakan telah menyerbu rumah terbabit dan menahan seorang warga asing dan seorang lagi warga tempatan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menemukan dan merampas pelbagai barangan dipercayai hasil aktiviti jenayah antaranya peralatan audio, dua tab dan telefon bimbit di rumah sewa berkenaan.

“Hasil siasatan lanjut, seorang suspek yang juga warga tempatan ini mempunyai dua rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah dan penyalahgunaan dadah.

“Kedua-dua lelaki terbabit juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Mohd Azhar berkata dengan penangkapan kedua-dua suspek itu, pihak polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan kereta di sekitar daerah ini.

“Kedua-duanya suspek ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

1024