Penampang: Sebuah bangunan menempatkan lima unit rumah sewa musnah musnah dalam kebakaran berhampiran Balai Polis Putatan, di sini tengah malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu turut memusnahkan dua kenderaan, masing-masing Perodua Aruz dan Honda Accord, milik penghuni rumah sewa berkenaan.
Difahamkan, kedua-dua kenderaan terbabit tidak sempat dialihkan oleh pemiliknya berikutan api terlalu marak dan cepat merebak.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 12.31 tengah malam.
Bertindak atas maklumat itu, tiga jentera bersama sembilan anggota bomba dikejarkan ke lokasi untuk menyalurkan bantuan.
“Setibanya di lokasi, api sudah memusnahkan sebahagian besar daripada rumah berkeluasan 1,710 meter persegi itu. Malah, beberapa penghuni dibantu penduduk berhampiran turut kelihatan cuba mengawal kebakaran dari terus merebak.
“Operasi pemadaman kemudiannya segera dilakukan dengan bantuan sebuah lagi jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu bersama enam anggota,” katanya.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.10 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya.
“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Unit Forensik JBPM Sabah sedang mengenalpasti punca kejadian dan nilai kerugian sebenar,” katanya. – Berita Harian