Pan Borneo Perlu Disiapkan Ikut Jadual

Jika Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) tidak bermasalah, mengapa perlu menukar mereka dengan rakan penyampai projek (PDP) yang lain?

Itu soalan dilontarkan bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berhubung cadangan kerajaan untuk melantik PDP baharu bagi meneruskan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak.

Menurut Fadillah, LBU yang dilantik kerajaan terdahulu berjaya melaksanakan tanggungjawab membina projek mega bernilai RM16.48 bilion itu mengikut jadual dengan purata kerja 10 kontraktor kini mencapai 50 peratus.

Malah pakej pertama projek berkenaan iaitu jajaran Sematan ke Telok Melano sepanjang 32.77 kilometer (km) sudah berjaya disiapkan dan dilalui pengguna kenderaan secara rasmi sejak 26 Januari lalu.

Justeru persoalan timbul, apakah rasionalnya di sebalik keputusan untuk menukar PDP ketika projek pembinaan lebuh raya itu berjalan dengan lancar sejak dimulakan pada 2015. Jika kerajaan tetap dengan keputusan untuk menamatkan khidmat LBU dilantik kerajaan terdahulu empat tahun lalu, banyak kerja baharu perlu dilakukan oleh penggantinya nanti.

PDP baharu dijangka memerlukan masa antara sebulan hingga dua bulan untuk membiasakan diri dengan projek berkenaan. Mereka perlu meneliti keseluruhan projek membabitkan terma kontrak, dokumentasi serta reka bentuk jalan.

Selain itu, pertukaran PDP ketika projek sedang rancak dilaksanakan juga pasti akan membabitkan peningkatan kos.

Tak perjelas tukar PDP

Justeru, rakyat Sarawak ingin tahu apa sebenarnya justifikasi pengambilalihan PDP yang sudah ditandatangani bersama kerajaan terdahulu.

Malah, LBU sebagai PDP yang diberi kepercayaan sejak projek itu bermula, sudah menandatangani perjanjian dengan kontraktor pelaksana projek dan ini bermakna banyak proses baharu perlu dilakukan ketika projek itu sedang berjalan lancar.

Awal bulan ini, Menteri Kerja Raya, Baru Bian, memaklumkan Kabinet akan mengumumkan keputusan mengenai pelantikan PDP baharu dalam masa terdekat. Bagaimanapun, beliau tidak menjelas lanjut apakah alasan di sebalik keputusan menukar PDP ketika projek yang diharapkan seluruh rakyat Sarawak itu semakin hampir menjadi kenyataan.

Ada beranggapan, keputusan untuk menukar PDP bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak itu mungkin ada kaitan dengan penamatan kontrak PDP bagi projek sama di Sabah pada April lalu. Urusan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah kini diserahkan kepada kerajaan negeri dan ia dilakukan untuk memastikan proses pelaksanaan projek yang lebih lancar dan penjimatan kos.

PDP di Sabah ditamatkan kontrak kerana umum mengetahui, mereka terbukti gagal melaksanakan projek berkenaan dengan teratur, namun berbeza keadaannya di Sarawak. Projek di Sarawak terutamanya di laluan sepanjang lebih 700 km dari Telok Melano ke Miri kini sudah mula kelihatan bentuk lebuh raya yang diimpikan rakyat Sarawak sejak sekian lama.

Walau apapun, rakyat Sarawak harus bersabar menunggu keputusan yang bakal diumumkan kerajaan berhubung masa depan projek berkenaan. Baru Bian sudah memberi jaminan, Kerajaan Persekutuan akan membuat pengumuman rasmi mengenai PDP projek itu dalam masa terdekat.

Ramai rakyat Sarawak mengharapkan projek pembinaan lebuh raya itu berjalan tanpa sebarang gangguan selepas berlaku pertukaran Kerajaan Persekutuan pada 2018.

Puas hati tahap projek

Malah Baru Bian ketika meninjau projek itu di Miri, Mac lalu, berpuas hati dengan tahap kemajuan projek dan yakin tidak menghadapi masalah untuk disiapkan mengikut jadual pada Jun 2021.

Sehubungan itu, rakyat mengharapkan keputusan bijak diambil untuk memastikan projek itu berjaya disiapkan mengikut jadual.

Ketika Baru Bian diumumkan sebagai Menteri Kerja Raya, majoriti rakyat Sarawak lega, kerana anak Sarawak terus diberi kepercayaan menerajui kementerian yang bertanggungjawab terhadap projek lebuh raya itu selepas dimulakan oleh Fadillah.

Harapan rakyat Sarawak kini sepenuhnya disandarkan kepada Baru Bian untuk menentukan projek yang dekat di hati rakyat itu disiapkan dalam masa ditetapkan, walaupun PDP baharu akan menggalas tanggungjawab meneruskan pembinaannya nanti.

Penulis adalah wartawan Berita Harian Sarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *