TERKINI: 9 Daripada 10 Nelayan Yang Diculik Kumpulan Militan Di Perairan Tambisan, Lahad Datu Diselamatkan


Kesemua mangsa adalah pemegang kad lepa-lepa atau kad burung-burung iaitu resit yang diberikan ketika datang ke Sabah pada sekitar tahun 70-an. – Foto PDRM

KOTA KINABALU: Sembilan daripada 10 nelayan yang diculik kumpulan militan di perairan Tambisan, Lahad Datu baru-baru ini berjaya diselamatkan pasukan keselamatan Filipina.

Pembebasan dipercayai berlaku pada pagi ini di Kepulauan Jolo, Selatan Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi mengesahkan kejadian itu.

Menurut beliau, polis masih mendapatkan maklumat terperinci mengenai insiden sembilan mangsa culik yang diselamatkan hari ini.

“Berdasarkan maklumat awal yang kita terima, sembilan daripada 10 mangsa culik tempoh hari berjaya diselamatkan pihak tentera Filipina di Kepulauan Jolo.

“Kesemua mangsa kini berada dalam keadaan selamat dan di bawah jagaan mereka (tentera Filipina),” katanya.

Menurut beliau, faktor kesemua diselamatkan dan dibebas daripada cengkaman penculik berkemungkinan mereka tidak mempunyai nilai ekonomi yang menjurus kepada permintaan wang tebusan.

“Masa dan lokasi sebenar kesemua mangsa yang diselamatkan itu masih kita belum menerima maklumat sepenuhnya.

“Keberadaan baki mangsa culik yakni seorang nelayan daripada kumpulan berkenaan masih juga belum diketahui, setakat ini,” katanya.

Terdahulu, 10 nelayan dipercayai diculik kumpulan yang difahamkan mempunyai kaitan dengan aktiviti culik untuk tebusan  (KFR) di perairan Tambisan, Lahad Datu sebelum dibawa ke Pulau Sitangkai di selatan Filipina, jam 2 pagi, pada 18 Jun lalu.

Dipercayai kesemua mangsa adalah pemegang kad lepa-lepa atau kad burung-burung iaitu resit yang diberikan ketika datang ke Sabah pada sekitar tahun 70-an.

Ketika kejadian kesemua mangsa berada di perairan berkenaan tanpa permit dan melanggar perintah berkurung yang dilaksanakan pihak berkuasa. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *