65 Warga Asing Ditahan Dalam Operasi Bersepadu Di Sekitar Sandakan

Mohd Azhar memeriksa dokumen antara mereka yang ditahan semasa Operasi Bersepadu pagi ini.

SANDAKAN: Seramai 65 warga asing ditahan oleh polis dalam operasi bersepadu yang diadakan di sekitar bandar Sandakan, Kampung Forest dan penempatan Batu 2 awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah ACP Mohd Azhar Hamin memberitahu bahawa mereka yang ditahan terdiri daripada 43 lelaki dan 22 perempuan berumur dalam lingkungan 17 hingga 65 tahun.

Kesemua yang ditahan kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk proses penapisan dan tindakan selanjutnya, kata Mohd Azhar.

Menurut Mohd Azhar, operasi bersepadu yang dijalankan dari jam 3.00 pagi hingga 7.00 pagi melibatkan beberapa agensi penguatkuasa di Sandakan dengan kekuatan 76 pegawai serta anggota dan diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Supt Abdul Fuad Malek.

Mohd Azhar berkata antara objektif operasi adaah untuk mengenali masalah jenayah dan masalah pendatang tanpa izin serta  melakukan perobohan penempatan haram di daerah ini.

Sementara itu, seorang lelaki tempatan berumur 25 tahun yang berasal dari Kota Kinabalu ditangkap polis ketika cuba memecah masuk pejabat sebuah jabatan kerajaan di Batu 7 pada Jun 19.

Saspek adalah antara 34 individu dalam operasi pencegahan jenayah yang dilaksanakan oleh polis daerah ini pada bulan Mei hingga sekarang. Siasatan lanjut mendapati saspek juga dikehendaki oleh polis di daerah lain di Sabah bersabit tiga kes jenayah, kata Mohd Azhar.

Hasil semakan mendapati saspek mempunyai rekod kesalahan lampau termasuk 3 kes di bawah Seksyen 379A , satu kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 2 kes di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952, tambah beliau.

Ujian saringan air kencing terhadap saspek positif dadah jenis syabu dan saspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 457 kanun keseksaan, katanya lagi.

Dalam pada itu 34 individu yang ditangkap dalam operasi pencegaham jenayah itu berumur lingkungan 16 hingga 52 tahun dan 10 daripada mereka positif menggunakan syabu, tambah Mohd Azhar.

Menurut Mohd Azhar , penahanan individu berkenaan juga membawa kepada penyelesaian 10 kes jenayah yang melibatkan kerugian sebanyak RM10, 000.

Dalam perkembangan lain, Mohd Azhar berkata polis berjaya tahan seramai 54 individu dalam 10 siri “Ops Sarang” yang dilaksanakan dalam tempoh yang sama di kawasan Kampung Tinusa 2, Kampung Kombo, Kampung Forest, Kampung Sim-Sim dan Batu 3.

Inidividu itu terdiri daripada 35 warga tempatan dan 19 warganegara asing, berumur 20 hingga 54 tahun dimana tujuh dari mereka ditahan kerana kesalahan memiliki dadah , 44 pula menggunakan dadah dan 3 membekalkan dadah, kata Mohd Azhar.

Mohd Azhar berkata, 18 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM2, 700 juga dirampas dalam tempoh yang sama.

Turut hadir pada sidang media Timbalan Ketua Polis Daerah, Supt Abdul Fuad Malek dan pegawai-pegawai kanan yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *