Sabah Tidak Perlu Undang-Undang Baharu Perhutanan Tetapi Penguatkuasaan

Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd Shafie Apdal berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Warisan P.190 dan P.192 di Kompleks Sukan Tawau

TAWAU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa Sabah tidak memerlukan pindaan Akta Perhutanan persekutuan memandangkan negeri mempunyai enakmen-enakmen sedia ada yang cukup lengkap.

Mengulas berkenaan kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, beliau berkata Kerajaan Negeri hanya memerlukan peningkatan dari segi penguatkuasaan supaya segala undang-undang dan peraturan yang ditetapkan di bawah bidang kuasa dapat dipatuhi semua pihak.

“Sabah ini paling banyak hutan simpan berbanding negeri lain, tetapi mana ada berlaku penebangan hasil, sudah tidak ada lesen dikeluarkan…yang berlesen pun kerajaan dahulu yang beri dan kita tidak boleh tamatkan.

“Ada perjanjian yang sampai tempoh 30 hingga 40 tahun, namun kita pasti akan perbetulkan apa yang berlaku ini,” katanya.

Selasa lalu, Dr Xavier ketika di Putrajaya menyatakan Akta Perhutanan Negara akan dipinda bagi menangani aktiviti pembalakan dan pengeluaran hasil hutan tidak terkawal.

Bagaimanapun, Shafie yang ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Warisan P.190 dan P.192 di Kompleks Sukan Tawau, di sini berkata isu pembalakan di negeri ini memang tidak digalakkan oleh Kerajaan Negeri.

“Yang pembalakan berlesen pun kita akan ada sekatan-sekatan supaya ia hanya boleh digunakan oleh industri tempatan seperti pembuatan perabot,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah berkata daerah ini akan dibangunkan sebagai pengeluar makanan utama di Sabah manakala sektor pelancongan akan ditingkatkan.

“Lapangan Terbang Tawau bukan hanya perlu dilengkapi landasan tetapi juga kemudahan lain termasuk penyimpanan stok makanan basah yang banyak dibawa pengunjung apabila pulang ke lokasi mereka,” katanya.

Dalam majlis rumah terbuka itu, kira-kira 10,000 pengunjung hadir memeriahkan suasana.

Ia turut diserikan dengan persembahan nyanyian hari raya, nasyid dan turut diadakan pemberian duit raya kepada 100 asnaf dari Parlimen Kalabakan dan Tawau. SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *