Pindahkan Pangkalan Tentera Ke Pantai Timur Sabah – Shafie

Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal, tengah, bersama Tan Sri Simon Sipaun, kanan, dan Tan Sri Michael Yeoh, President, Kingsley Strategic Institute.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mahu markas pangkalan tentera ditempatkan di Pantai Timur Sabah berikutan ancaman keselamatan lebih kerap berlaku di kawasan sedemikian.

Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah ini berkata, beliau melihat terdapat keperluan memindahkan ibu pejabat Kem Tentera Lok Kawi ke Pantai Timur Sabah, dimana ia lebih diperlukan.

“Ini bukan atas sebab politik tetapi ia melibatkan kepentingan negara. Jika isu sebegini dapat ditangani, ia mampu menghalang berlakunya kejadian ancaman keselamatan yang sering berlaku di Pantai Timur Sabah.

“Sekiranya kita boleh tingkatkan kehadiran tentera di kawasan yang diperlukan, itu boleh menghalang pihak luar melakukan kegiatan jenayah.

“Saya sudah mengemukakan pandangan saya supaya kejadian sebegini (jenayah rentas sempadan) dapat ditangani,” katanya ketika ditanya mengenai penstrukturan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang patut dihentikan berikutan berlaku kes penculikan terbaharu di Lahad Datu pada awal pagi tadi (Selasa).

Mengenai insiden penculikan berhampiran Tambisan Lahad Datu dimana, 10 nelayan dikhuatiri diculik, Mohd Shafie berkata, insiden itu akan disiasat oleh pasukan keselamatan.

Katanya, penstrukturan Esscom tetap akan dilakukan namun, lebih baik ia dilakukan secepatnya.

Menurutnya, bagi memastikan Sabah berada dalam kedudukan yang baik, kawasan Pantai Timur Sabah perlu dilengkapi dengan peralatan dan pasukan risikan yang mencukupi.

Sebahagian peserta di seminar tersebut.

Ditanya tentang penstrukturan Esscom yang dilihat memberi kesan kepada aspek keselamatan sebab ia melibatkan pengurangan kos, Mohd Shafie berkata, jika peralatan yang betul diletakkan di Sabah itu jauh lebih baik.

Beliau berkata, beliau tidak pasti jika Markas Pangkalan Lumut memerlukan aset dan peralatan yang lengkap kerana ancaman keselamatan dan lanun tidak berlaku di situ.

“Kita kena pastikan ada kapal ditempatkan di Pantai Timur Sabah seperti di Lahad Datu. Saya sudah maklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengenai keperluan kapal itu. Ia terserah kepada kepimpinan atasan di Kuala Lumpur untuk membuat keputusan,” jelasnya.

Pada jam 2 pagi Selasa, 10 nelayan dari dua kapal yang berada di Tambisan Lahad Datu yang sedang menuju ke Semporna diserbu kumpulan bersenjata yang menaiki bot laju.

Identiti dan kewarganegaraan kesemua mangsa belum dikenalpasti namun, mereka dipercayai warga Filipina yang memiliki dokumen Lepa Lepa yang dikeluarkan pada 1970an.

Kumpulan bersenjata itu dipercayai menaiki dua bot laju ketika menghampiri dua kapal nelayan berkenaan. Mereka dipercayai menculik empat kru kapal dari bot pertama dan enam kru kapal dari bot nelayan yang kedua.

Bot mereka kemudian dipercayai menuju ke sebuah pulau di Selatan Filipina yang berada 15 minit menaiki bot dari perairan Tambisan, Lahad Datu.

Kemudian ditanya mengenai laporan dari Filipina bahawa Sabah berdepan ancaman dalaman, Mohd Shafie berkata, jika mereka (Filipina) dapat mengenalpasti siapa orang-orang itu dan berikan maklumat berkenaan kepada pasukan keselamatan di Sabah, itu akan membolehkan tangkapan dilakukan.

“Lebih baik kita bekerjaama kerana ia bukan hanya baik untuk mereka tapi juga untuk kita kerana dapat mengenalpasti ancaman yang datang dari dalam ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta kerjasama orang awam supaya menjadi mata dan telinga kerajaan dalam membantu menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan jika ada ancaman keselamatan di kawasan tempat tinggal mereka. Ini bagi membolehkan tindakan sepatutnya dapat diambil. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *