Segerakan Pembinaan Jambatan Kedua Buang Sayang, Papar

Jambatan Buang Sayang merentasi Sungai Papar yang menghubungkan pekan Papar dengan Kota Kinabalu melalui Jalan Pengalat-Lok Kawi ketika ini berkeadaan sempit selain usang menjadi ‘bottle neck’ kepada kenderaan dari kedua-dua arah hingga menyebabkan kesesakan terutama pada musim cuti perayaan.

Papar: Pembinaan jambatan kedua Buang Sayang merentasi Sungai Papar di pekan ini perlu disegerakan bagi menampung peningkatan pengguna di Jalan Pengalat – Lok Kawi, laluan yang memendekkan perjalanan antara pekan Papar dengan Kota Kinabalu.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar, berkata jambatan sedia ada ketika ini yang berusia lebih setengah abad dan sempit, sudah tidak dapat menampung pertambahan trafik dari kedua-dua arah.

Beliau berkata, pengguna jalan raya berdepan masalah kesesakan serius berikutan jumlah kenderaan yang banyak apabila sampai di jambatan berkenaan terutama pada musim cuti perayaan berikutan ramai menggunakan laluan itu untuk ke ibu negeri atau sebaliknya, selain di Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu.

“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menghantar cadangan kerana ia sangat diperlukan oleh orang di Papar berikutan keadaan kesesakan lalu lintas yang semakin teruk di daerah ini. Ketika cuti Aidilfitri lalu, perjalanan dari Beringis mengambil masa dua jam berbanding hari biasa hanya 10 minit saja.

“Jadi rakyat Papar sangat mengharapkan jambatan kedua Buang Sayang ini dipercepatkan. Cadangan juga sudah dihantar kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan dia kata akan berusaha. Saya sendiri juga sudah beberapa kali membawanya ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya ketika meninjau tapak cadangan jambatan kedua berkenaan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembinaan jambatan kedua itu sudah mencapai tahap mendesak kerana ia adalah nadi lalu lintas dan menjadi laluan utama ke ibu negeri termasuk digunakan pengunjung dari Brunei, namun sekarang ia menjadi ‘bottle neck’ kepada pemandu kenderaan.

Aidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, berkata beliau berharap pelaksanaan projek jambatan kedua itu dapat dilakukan selewat-lewatnya pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) atau diawalkan lagi pada Rolling Plan Kelima, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Pelaksanaan projek pembinaan jambatan baharu ini juga penting bagi memenuhi janji kerajaan baharu ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tahun lalu. Anggaran kos pembinaan jambatan itu kira-kira RM45 juta,” katanya.

Jambatan sedia ada ketika ini yang menggunakan struktur besi sudah semakin usang dan pernah runtuh pada tahun 1990-an, selain tidak boleh dilalui kenderaan berat terutama yang membawa muatan tinggi berikutan halangan palang besi jambatan.

Terdahulu, Aidi turut meninjau masalah laluan masuk ke kawasan industri ringan pekan Papar yang terhalang selepas jalan raya empat lorong dua hala di pekan ini siap sejak awal tahun ini.

Katanya, masalah itu yang menyebabkan perniagaan di kawasan berkenaan merosot sehingga ada yang ditutup akan diselesaikan segera selepas mendapat kelulusan JKR dan pihak berkuasa yang lain dalam masa terdekat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *