Dua Lelaki Tempatan Miliki Dadah Ditahan Di Telipok

Dua suspek tempatan memiliki dadah. – Gambar SNT/Ihsan Polis

Kota Kinabalu: Dua lelaki warga tempatan berumur 19 dan 25 tahun berjaya diberkas polis kerana dipercayai memiliki dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata suspek diberkas di tempat letak kereta Blok 2T, University Utama Condominium (UUC), Jalan Kayu Madang, Telipok.

Habibi berkata ketika tangkapan dibuat, suspek memiliki empat bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan tumbuhan mampat yang disyaki dadah jenis ganja.

“Susulan tangkapan tersebut, salah seorang suspek menunjukkan lokasi berasingan tempat simpanan dadah dan pihak polis bergegas ke salah sebuah rumah di Damai Point, Luyang dipercayai milik kepada suspek kedua yang berumur 25 tahun.

“Dalam operasi berkenaan, pihak polis turut menemui satu ketulan tumbuhan mampat dan satu paket plastik lutsinar berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat 193.32 gram,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Habibi memberitahu hasil ujian saringan awal urin juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah manakala jumlah rampasan barang kes hasil tangkapan tersebut bernilai RM3,867.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun hingga seumur hidup dan minimum 10 sebatan jika disabit kesalahan.

Katanya Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 21 Jun. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *