Penumpang Maut, Kemalangan Melibatkan Hilux Dan Motosikal

Mangsa yang maut akibat kemalangan pacuan empat roda dengan motosikal. Gambar kecil menyaksikan motosikal yang terlibat kemalangan dengan pacuan empat roda di Jalan Beluran – Telupid.

Warga emas maut dalam kemalangan

Beluran: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan yang melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux dengan sebuah motosikal di Kilometer 41, Jalan Beluran – Telupid dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, mangsa Wong Si Choon, 61, yang merupakan penumpang kenderaan pacuan empat roda disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala, katanya pemandu pacuan empat roda dan penunggang motosikal yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Beluran untuk mendapatkan rawatan.

Berdasarkan makluman kes, kemalangan itu berlaku lebih kurang jam 10.30 pagi Sabtu apabila kenderaan pacuan empat roda dari arah Sandakan hendak memotong motosikal di hadapan.

Menurut Kasim, secara tiba-tiba motosikal di hadapan telah membelok ke sebelah kanan menyebabkan pemandu kenderaan mengelak ke kanan tetapi oleh kerana jarak yang dekat telah menyebabkan kenderaan itu terlanggar motosikal.

Jelasnya, kenderaan itu kemudian hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar pokok pisang.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca apabila pemandu kenderaan pacuan empat roda telah memotong motosikal di hadapan dan tidak menyedari motosikal itu hendak membelok.

Kasim berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Utusan Borneo

41