Jambatan Menghubungkan Kemabong Dan Pekan Tenom Akan Dibina

Peter (kanan), bersama Jamawi semasa berucap di Majlis Tumah Terbuka Adilfitridi Dewan Kompleks Sukan Tenom.

Tenom, 15 Jun – Kerajaan Negeri Sabah telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi membina sebuah jambatan baharu yang bakal menghubungkan perjalanan ribuan penduduk Kemabong dengan Pekan Tenom, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony.

Peter berkata projek pembinaan prasarana itu dijangka dimulakan pada tahun depan, namun, tidak memaklumkan nilai sebenar peruntukan diluluskan bagi membina jambatan berkenaan.

Peter (tengah), Jamawi (dua dari kiri) dan Norita (kanan) mengagihkan duit raya kepada kanak-kanak semasa Majlis Tumah Terbuka Adilfitridi Dewan Kompleks Sukan Tenom.

Beliau berkata projek jambatan baharu berkapasiti besar yang merentasi Sungai Padas itu adalah sebahagian daripada pakej pembangunan Tenom sebagai usaha memudahkan akses penduduk di kawasan terbabit untuk berurusan di pekan itu.

“Kita (Kerajaan Sabah) bertungkus lumus menyenaraikan mana-mana kemudahan infrastruktur seperti jalan raya diperlukan oleh rakyat sebagai memudahkan akses mereka daripada satu kawasan ke kawasan lain. Ini bukan sahaja di Tenom tetapi juga di seluruh negeri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Peter berkata kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan bagi membina sebanyak 250 unit rumah di Tenom, dan projek pembinaan perumahan itu akan dimulakan sebaik tapak tanah seluas kira-kira 20 hektar diperolehi.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *