Mangsa Banjir Di Membakut Meningkat Ke 94 Orang

Anggota APM mengagihkan makanan kepada mangsa banjir. FOTO ihsan APM

BEAUFORT: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Membakut meningkat kepada 94 orang setakat jam 8 pagi hari ini.

Pegawai Daerah Beaufort, Jupry Etok berkata, jumlah mangsa itu membabitkan 34 keluarga daripada 11 kampung yang terjejas ekoran banjir sejak semalam.

“Semua mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Membakut selepas beberapa kampung dinaiki air sejak semalam.

“Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Lumantak, Kampung Baitam, Kampung Sinoko, Kampung Bambangan, Kampung Baru, Kampung Kayai, Kampung Lampijas, Kampung Jambatan Baru, Kampung Baitam Laut, Kampung Baitam Baru dan Kampung Papas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, Jupry berkata, sebanyak lima jalan turut dinaiki namun masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Beliau berkata, keadaan cuaca kini mendung namun pasukan penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan lain-lain terus membuat pemantauan. – Berita Harian

31