Adik Ainul Mardhiah Semakin ceria

Ainul Mardhiah semakin ceria dan cuba memberi maklum balas kepada Nurul Erwani yang sedang berkomunikasi dengannya.

Kuala Lumpur: Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, bayi 10 bulan yang menghidap ‘Germ Cell Tumour’, terus menunjukkan perkembangan positif apabila mampu memberikan reaksi ketika dipegang ibunya.

Menerusi satu video tanpa suara yang dikongsi Nurul Erwani Zaidi, 24, menerusi Instagram, jelas menunjukkan Ainul Mardhiah semakin ceria dan cuba memberi maklum balas kepada wanita terbabit yang sedang berkomunikasi dengannya.

Nurul Erwani dalam catatan pada video itu turut meluahkan rasa syukur kerana sudah dapat memeluk dan mendukung bayinya.

“Yayy, Alhamdulillah dah dapat peluk Ainul dan dukung Ainul.

“Walaupun masih takut lagi jika terkena luka jahitan di leher Ainul, mama yakin Ainul selesa. Sayang Ainul Mardhiah,” katanya.

Dalam pada itu, perkongsian terbabit mendapat lebih 105,000 tontonan dan 1,220 komen setakat jam 1 tengah hari tadi dengan rata-rata pengikut Instagram terbabit terus mendoakan kesihatan dan kesembuhan Ainul Mardhiah.

Ainul Mardhiah selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulutnya di sebuah hospital di London, Isnin lalu.

Pembedahan yang mendapat liputan meluas media dan viral di media sosial itu adalah hasil inisiatif pelatih pakar bedah warganegara Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri.

Lebih manis pembedahan yang diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway itu turut disertai doktor bedah plastik pediatrik dan craniofacial, Dr Julian Ong yang berasal dari Pulau Pinang. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *