Datuk Amrullah Kamal Presiden Majlis Perbandaran Tawau Yang Baharu

Datuk Amrullah Kamal

KOTA KINABALU, 12 Jun – Bekas Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Amrullah Kamal, 58, dilantik sebagai Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Jaujan Sambakong berkata pelantikan itu bagi menggantikan Alijus Sipil yang bersara wajib.

Jaujan (dua kanan) menyampaikan watikah lantikan MPT baharu kepada Amrullah (dua kiri).

Beliau berkata pelantikan itu telah dipersetujui oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk mengisi kekosongan jawatan berkenaan.

“Beliau (Amrullah) seorang yang cukup berpengalaman kerana pernah mengetuai Jabatan Kerja Raya (JKR) di Tawau kemudian dipindahkan ke JKR negeri Sabah sebelum dilantik menjadi Ketua Pengarah DBKK.

“Saya yakin dibawah pimpinan beliau MPT akan lebih maju ke hadapan seperti yang diharapkan kerajaan pimpinan Sabah Baharu terutama dalam menangani isu-isu bekalan air dan banjir yang sering melanda daerah Tawau,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Jaujan yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata peranan seorang presiden amat penting apatah lagi Tawau juga menjadi tumpuan kepada pelancong asing.

Sementara itu Amrullah berkata beliau telah berkhidmat sebagai penjawat awam sejak 34 tahun lalu.

Anak jati Tawau itu melahirkan penghargaan atas pelantikan dan memberi keyakinan kepada beliau untuk menggalas tanggungjawab sebagai presiden MPT.

“Tawau mempunyai banyak potensi dalam pelancongan dan selain nature tourism, sektor pelancongan lain yang boleh diberi perhatian ialah pelancongan pendidikan  dan pelancongan perubatan,” katanya.          

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *