Cemburu Punca Lelaki Bunuh, Sumbat Mayat Kekasih Dalam Kotak

Lokasi Mayat Wanita Dibuang

Mayat seorang wanita ditemui dalam kotak yang dibuang di simpang Jalan Setia 4/6 Taman Setia Indah, Johor Bahru, semalam.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan kehilangan mangsa dari ahli keluarganya pada 7 Jun lalu.

Bertindak di atas laporan itu, polis menjalankan siasatan di sebuah premis di Taman Setia Indah yang didiami oleh seorang lelaki berusia 35 tahun.

Suspek yang juga pembuat gigi palsu itu ditahan dan dibawa ke IPK untuk membantu siasatan kes kehilangan mangsa berusia 33 tahun berkenaan.

Hasil soal siasat, suspek mengaku dia dan mangsa menjalinkan hubungan sejak lapan tahun lalu. Suspek mengaku telah membunuh mangsa di premisnya sebelum dibuang ke tempat lain.

Pada hari kejadian, suspek tidak berpuas hati mangsa berbual dengan lelaki lain (cemburu), lalu memukul kepala mangsa menggunakan tangan dan paip getah sehingga cedera dan rebah ketika dalam perjalanan ke bilik air.

Suspek kemudian menyumbat mayat mangsa ke dalam kotak yang dibaluti dengan kanvas plastik dan ditinggalkan di premis perniagaannya.

Namun mayat mangsa mula membusuk membuatkan dia terpaksa membaluti kotak itu dengan plaster siling bagi mengelakkan baunya lebih kuat. 

Bimbang kejadian itu diketahui orang, suspek meminta bantuan rakannya mengangkat kotak itu dan membuangnya ke lokasi mayat ditemui.

Selesai memberi keterangan, suspek kemudian membawa polis ke tempat mayat mangsa di buang pada jam 6.30 petang semalam dan menunjukkan mayat mangsa yang disimpan di dalam kotak.

“Proses bedah siasat akan dijalankan secepat mungkin dan ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek pertama ada dua rekod jenayah lampau yang membabitkan kes jenayah dan dadah, manakala suspek kedua mempunyai rekod berkaitan kes jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori,” katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat, tampil menghubungi IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2218999 untuk membantu siasatan.
Sumber: Harian Metro