KPLB Sabah Akan Bina Rumah Di Tiga Kawasan Mesej Tahun Ini

PENAMPANG, 11 Jun – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan membina rumah bagi peserta terpilih di tiga Program Mini Estet Sejahtera (Mesej) pada tahun ini, kata Menterinya Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata tiga kawasan Mesej itu ialah Kampung Timpangoh Laut, Penampang, Kampung Tukar di Pitas dan Kampung Mansalu, Ranau sebelum menempatkan peserta yang layak serta berdaftar dalam e-Kasih.

Ewon (empat kiri) bersama Jenifer (tiga kanan) berbincang mengenai pembinaan rumah peserta MESEJ Timpangoh Laut, Penampang.

“Jumlah peserta perlu bersesuaian dengan kawasan Mesej kerana jika terlalu ramai akan menjejaskan pendapatan mereka. Sebagai contoh Mesej di sini (Timpangoh Laut) hanya mampu menempatkan 16 peserta sahaja tetapi jika diletakkan lebih daripada jumlah itu dengan keluasan 70 hektar tanaman pokok getah, pendapatan isi rumah akan berkurangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Mesej Kampung Timpangoh Laut di sini, yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Pekan Donggongon.

Ewon berkata bagi dua kawasan Mesej iaitu di Pitas dan Ranau, jumlah pembinaan rumah akan ditentukan selepas lawatan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, bagi memudahkan pembinaan rumah termasuk kemudahan asas di kawasan Mesej itu, proses lantikan kontraktor akan dijalankan selewat-lewatnya Ogos ini.

“Kita berharap rumah itu akan dapat disiapkan pada tahun ini dan peserta Mesej akan dapat menghuni rumah berkenaan pada tahun depan sebelum mendapat hasil daripada program Mesej,” katanya.

Angggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian itu berkata Mesej di Timpangoh Laut mampu memberikan pendapatan kira-kira RM1,700 sebulan kepada setiap isi rumah iaitu purata 20 hari menoreh.

Sementara itu, ADUN Moyog Jenifer Lasimbang berkata selain menoreh getah, alternatif lain juga perlu diusahakan khususnya pada musim tengkujuh sebagai pendapatan sampingan kepada peserta.

Beliau berharap pengwujudan Mesej di kawasan itu akan dapat meningkatkan infrastruktur di kawasan berkenaan yang bukan hanya dinikmati oleh peserta Mesej tetapi juga penduduk kampung sekitarnya.

“Selain kampung Timpangoh Laut, ada beberapa buah kampung lain terdapat di kawasan ini yang memerlukan jalan raya yang perlu dinaik taraf bagi memudahkan membawa hasil jualan penduduk  ke pekan,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *