
RANAU: Seorang pemuda tempatan berumur 28 tahun menerima lapan jahitan di bahagian belakang kepalanya selepas diserang dua lelaki dipercayai warga asing di pasar buah, Pekan Ranau, kelmarin.
Semasa kejadian, Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Shahrul Abdul Wahab berkata polis masih lagi menyiasat punca sebenar kejadian berlaku.

Sisasatan lanjut serta usaha mencari dan mengesan suspek juga masih diteruskan.
Polis menasihati orang ramai di sini agar tidak bertindak hingga luar batasan undang-undang ekoran kejadian tersebut.
Menurut Mohd Shahrul, kira-kira pukul 12.15 tengah hari kelmarin, semasa mangsa kebetulan berada di belakang Pekan Ranau, mangsa melihat sekumpulan lelaki keluar daripada sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih dan bertindak seolah ingin menyerang kumpulan lain.
Apabila melihat perkara tersebut, mangsa turut melarikan diri ke arah sebuah kedai lain dan kemudiannya berlari ke arah pasar buah.
Akibat merasa kepenatan, mangsa berhenti berlari untuk berehat, namun beliau dipukul oleh dua orang lelaki warga asing menggunakan sebatang besi paip berukuran lebih kurang 41 sentimeter.
Mangsa dipukul hingga empat kali di bahagian belakang kepala dan badan sebelum suspek melarikan diri dan mangsa berjaya merampas besi yang digunakan suspek untuk memukulnya.
Mohd Shahrul berkata, setelah mendapat makluman berkenaan kejadian tersebut, pihak polis segera bergegas ke tempat kejadian.
“Pada ketika itu, beberapa orang dikesan berlegar di tempat kejadian, namun selepas menyedari kehadiran pihak polis mereka kemudian bertindak melarikan diri.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala dan badan. Selain itu, mangsa telah menerima enam jahitan sebelum dibenarkan pulang ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya mangsa kemudiannya tampil ke Balai Polis Ranau untuk buat laporan polis.
Kejadian disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut disarankan untuk menghubungi pihak polis, sama ada menghubungi terus pegawai penyiasat di talian 013-2956467atau tampil ke balai polis atau pondok polis berdekatan.