Pemuda Tempatan Diserang Dua Warga Asing Di Ranau

Mangsa dibantu dan ditenangkan oleh peniaga-peniaga dan pengunjung di pasar berkenaan. Gambar Media Sosial

RANAU: Seorang lelaki tempatan berumur 28 tahun, menerima lapan jahitan di belakang kepala selepas diserang dua orang lelaki dipercayai warga asing di pasar buah, Pekan Ranau, hari ini.

Ketika kejadian, Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Shahrul Abdul Wahab berkata polis masih menyiasat punca sebenar kejadian berlaku.

Gambar mangsa dengan kesan darah dari belakang kepala tular di media sosial sejak petang tadi. Gambar Media Sosial

Siasatan lanjut serta usaha mengesan suspek juga masih diteruskan.

Polis menasihati masyarakat setempat agar tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang ekoran kejadian terbabit.

Menurut Mohd Shahrul kira-kira pukul 12.15 tengah hari, semasa mangsa kebetulan berada di belakang di Pekan Ranau, beliau ternampak sekumpulan lelaki keluar dari sebuah kereta Perodua Viva putih dan bertindak seolah menyerang sekumpulan lelaki lain.

Apabila melihat perkara tersebut, mangsa turut melarikan diri ke arah sebuah kedai lain dan kemudiannya berlari ke arah pasar buah.

Oleh kerana penat, mangsa berhenti berlari untuk berehat, namun beliau dipukul oleh dua lelaki warga asing dengan menggunakan sebatang besi paip berukuran lebih kurang 41 sentimeter.

Mangsa dipukul sebanyak tiga hingga empat kali di bahagian belakang kepala dan badan sebelum suspek bertindak melarikan diri.

Dalam kejadian tersebut, mangsa berjaya merampas besi yang digunakan oleh suspek untuk memukulnya.

Mohd Shahrul berkata setelah mendapat makluman berkenaan kejadian tersebut, pihak polis segera bergegas ke tempat kejadian.

“Pada ketika itu, beberapa orang dikesan berlegar di tempat kejadian, namun selepas menyedari kehadiran pihak polis mereka kemudian bertindak melarikan diri.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala dan badan. Selain itu, mangsa telah menerima enam jahitan sebelum dibenarkan pulang ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya mangsa kemudiannya tampil ke Balai Polis Ranau untuk buat laporan polis.

Mangsa mendapat rawatan di hospital. Gambar SNT/Ihsan Polis

Kejadian disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut disarankan untuk menghubungi pihak polis, sama ada menghubungi terus pegawai penyiasat di talian 013-2956467atau tampil ke balai polis atau pondok polis berdekatan. –SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *