(VIDEO) Pelajar UMS Rugi RM3,000 Disamun Di Keningau

Screengrab dari rakaman video CCTV menunjukkan lelaki tersebut berjalan masuk menuju ke arah mangsa.

KENINGAU: Seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengalami kerugian RM3,000 selepas disamun seorang lelaki yang tidak dikenali di salah sebuah restoran di sini, tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Supritendan Polis Shahrudin Husain yang mengesahkan kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 1 petang ketika mangsa sedang menikmati hidangan dan bersembang bersama tiga rakannya.

Lelaki itu kemudian melarikan beg tangan mangsa. Gambar SNT/Ihsan IPD Keningau

“Ketika kejadian, tiba-tiba mangsa didatangi seorang lelaki tidak dikenali dari belakang lalu mengambil beg mangsa dan terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mangsa bersama rakan-rakannya cuba mengejar suspek, namun tidak berjaya dan pekerja restoran berkenaan juga turut membantu mengesan penyamun berkenaan tetapi gagal.

Menurut mangsa, suspek ketika itu memakai baju berwarna kelabu berlengan panjang dan berseluar jeans serta memakai topi berwarna hitam.

Tambahnya, suspek juga mempunyai tubuh badan yang kurus dengan ketinggian kira-kira 165 sentimeter.

Akibat kejadian tersebut, mangsa turut kehilangan dokumen penting melibatkan kad pengenalan, kad bank, lesen memandu, kad pelajar UMS serta dua buah telefon bimbit.

Namun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan selepas kejadian terbabit.

Polis masih menjalankan operasi mengesan suspek yang dikenal pasti terlibat dalam kejadian ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. –SabahNewsToday

https://www.facebook.com/jamainsarudin/videos/2695531567143186/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *