Dadah: Polis Tahan 24 Individu Di Sekitar Bandaraya Kota Kinabalu

Antara individu ditahan polis dalam operasi pembanterasan aktiviti penyalahgunaan dadah Op Sarang dan Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. – Foto ihsan polis

24 ditahan terbabit penyalahgunaan dadah

KOTA KINABALU: Seramai 24 individu ditahan polis dalam operasi pembanterasan aktiviti penyalahgunaan dadah Op Sarang dan Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Operasi selama seminggu yang berakhir Jumaat lalu itu dijalankan di sekitar kawasan Bandaraya Kota Kinabalu, Sembulan, Tanjung Aru dan Kampung Cenderawasih, Likas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata sepanjang operasi berkenaan, pihaknya menahan lima individu atas kesalahan memiliki dadah, dua ditahan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) manakala selebihnya adalah penagih.

Katanya, semua yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 59 tahun membabitkan 16 rakyat tempatan dan lapan warga asing.

“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(A) akta yang sama manakala seorang lelaki dan wanita ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LPPK) 1985.

“Dalam operasi ini juga, polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 0.87 gram yang dianggarkan bernilai RM130.50 berdasarkan harga pasaran semasa ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Habibi berkata, operasi berkenaan bertujuan sebagai langkah pencegahan berlakunya jenayah di musim perayaan.

Sementara itu Habibi berkata, operasi ini dijalankan berdasarkan risikan dan maklumat awam di kawasan sarang penagihan dan pengedaran dadah di sekitar Kota Kinabalu.

Katanya, kerjasama daripada orang awam dalam menyalurkan maklumat amat diperlukan dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah daripada berleluasa.

“Secara keseluruhan, Op Sarang dan Op Tapis ini berjalan lancar dan usaha ini akan terus diperhebatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan serta ketenteraman masyarakat bandaraya ini,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *