Tak Sempat Masuk Sabah, Dua Lelaki Warga Asing Ditahan


Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki warga asing dalam Op Gelora Khas dipercayai masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah di perairan Ujung Pasir di Labuan. – Foto ihsan PPM

LABUAN: Gerak-geri mencurigakan dua lelaki sebaik menyedari kehadiran polis di perairan Ujung Pasir, di sini membawa kepada penahanan mereka apabila didapati masuk ke negara ini tanpa dokumen sah.

Dalam kejadian jam 9 pagi semalam, kedua-dua warga asing berkenaan menaiki bot penumpang dipercayai dalam perjalanan masuk ke negara ini.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata kedua-dua lelaki ditahan pasukan bot ronda PPM yang menjalankan tugas operasi ‘Op Gelora Khas’ sempena Aidilfitri.

Katanya, sebaik ditahan, pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki berusia 20-an itu gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot ronda PPM sedang menjalankan operasi untuk membuat pemeriksaan terhadap semua bot di perairan negara ini bagi memastikan peraturan keselamatan sentiasa dipatuhi.

“Kedua-dua lelaki terbabit kemudiannya dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Labuan untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, kedua-dua lelaki warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Sementara itu, Mohamad Pajeri berkata, sepanjang musim perayaan ini, PPM Sabah akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab menjalankan operasi di perairan Sabah.

Katanya, ia bagi mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang termasuk jenayah alam sekitar. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *