Dugaan 4 Syawal
Dua puluh tiga rumah di Kampung Karamunting, dekat Sandakan, musnah terbakar dalam kejadian kira-kira 2 petang, hari ini.
Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati penduduk yang masih ‘sibuk’ dengan aktiviti kunjung-mengunjung sempena Hari Raya Aidilfitri ternyata amat terkejut dengan kejadian berkenaan.
Beberapa keluarga yang berada di rumah sempat mengalihkan harta benda masing-masing ke kawasan selamat, namun ramai juga tidak sempat berbuat demikian.
Seorang penduduk, Awang Kecil Mudin, 53, berkata, ketika kejadian dia dan keluarga baru saja mahu berehat di dalam rumah.
Bagaimanapun katanya, secara tiba-tiba dia dikejutkan isteri yang memaklumkan rumah jiran mereka sedang terbakar.
“Saya segera bangun dan mengarahkan semua ahli keluarga keluar ke tempat selamat sambil mengambil sedikit barang.
“Tetapi api merebak dengan cepat dan terus memusnahkan sebahagian besar rumah kami,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Awang berkata, walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa keluarga terutamanya di hari keempat Aidilfitri, namun dia reda dan bersyukur kerana semua keluarganya selamat.
Seorang lagi mangsa, Supardi Jamal, 32, berkata, sebelum kejadian dia dan keluarganya sedang berehat.
Katanya, tiba-tiba orang ramai berteriak dan apabila dia melihat ke arah luar rumah, api sudah menghampiri rumahnya.
“Kami berusaha secepat mungkin untuk menyelamatkan ahli keluarga dan harta benda namun hanya sebahagian barangan rumah dapat dibawa keluar,” katanya.
Supardi berkata, dia dan keluarga amat sedih dengan kejadian itu dan mereka mungkin terpaksa menumpang di rumah keluarga selepas ini.
Sementara itu Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Anddre Andrew berkata, kebakaran membabitkan 23 rumah berstruktur kayu.
Katanya, kedudukan rumah yang berhampiran antara satu dengan yang lain menyebabkan api merebak dengan cepat.
“Api berjaya dikawal pada 3.35 petang dan setakat ini, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
“Operasi pemadaman masih sedang giat dijalankan dengan kekuatan 17 anggota termasuk pegawai,” katanya. – Harian Metro