Harimau Malaya belasah Timor Leste
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya menyambut Hari Raya ketiga dengan gemilang apabila ‘menyembelih’ Timor Leste 7-1 pada aksi pertama ‘play-off’ Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Pengorbanan pemain negara yang terpaksa melupakan cuti Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini nyata berbaloi apabila kemenangan besar itu menyaksikan Malaysia kini hanya sebelah kaki untuk mara ke pusingan kedua kelayakan yang akan berlangsung, September ini.
Pada aksi terbabit, Malaysia menguasai permainan dengan Timor Leste terus bergelut mencari rentak dan hanya mengharapkan serangan balas pantas menerusi bahagian sayap mereka yang nyata gagal menggugat benteng pertahanan tuan rumah.
Malaysia bagaimanapun perlu menunggu sehingga minit ke-10 untuk memulakan pesta gol apabila hantaran lintang Safawi Rasid ditanduk masuk Corbin Ong untuk gol pembukaan yang juga gol pertama pemain kacukan itu yang tampil buat julung kalinya dalam perlawanan kompetitifnya bersama Malaysia.
Malaysia beroleh peluang melebarkan jurang pada minit ke-16 apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Norshahrul Idlan Talaha dijatuhkan namun penjaga gol Timor Leste, Fernandes Aderito Raul bijak membaca sepakan Safawi untuk menyelamatkan tendangan pemain itu.
Bagaimanapun, situasi itu tidak melemahkan semangat dan kegagalan Fernandes membaca hantaran lintang Matt Davies membolehkan Shahrel Fikri Md Fauzi meledak gol kedua negara pada minit ke-22.
Berkelebihan dua gol, Malaysia nyata tidak memberi muka langsung kepada pelawat apabila meledak dua gol pantas ketika babak pertama berbaki lima minit menerusi Norshahrul pada minit ke-42 diikuti Safawi pada minit ke-45 sekali gus membolehkan Malaysia selesa 4-0 pada 45 minit pertama perlawanan.
Bersambung babak kedua, Malaysia yang lebih banyak ‘goyang kaki’ pada separuh masa pertama akhirnya dikejutkan apabila Timor Leste menghasilkan gol pertama menerusi penyudah kaptennya, Joao da Silva Freitas pada minit ke-51.
Beberapa percubaan dilakukan Malaysia untuk memburu gol kelima namun gagal disudahkan dengan baik sehinggalah rembatan Safawi menggegar gawang pelawat pada minit ke-58 untuk pasukan negara kembali berkelebihan empat gol.
Tidak cukup dengan lima gol, pemain negara menghadiahkan gol keenam kepada 4,244 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan itu apabila pemain gantian, Faiz Nasir mencetak nama selaku penjaring menerusi satu tendangan voli ketika perlawanan berbaki 12 minit sebelum Akhyar Rashid melengkapkan malam gemilang skuad negara dengan gol ketujuh pada minit ke-89. – Berita Harian