Tragedi Double Six: Terpulang Pada Pihak Berkuasa Untuk Dedah Laporan

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew (tengah), Toh Puan Rahimah Stephens (lima dari kanan), Datin Nancy Mojuntin (tiga dari kiri) dan ahli keluarga memberi penghormatan di tugu peringatan tragedi ‘Double Six’ tragedi kemalangan udara yang mengorbankan 11 nyawa, 43 tahun lalu.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyerahkan kepada agensi berkuasa berkaitan sama ada mahu mendedahkan laporan penuh tragedi ‘Double Six’ yang mengorbankan 11 nyawa, termasuk lima menteri Kabinet Sabah, 43 tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, berkata sejak sekian lama, banyak permintaan untuk membenarkan laporan itu didedahkan kepada umum, malah beliau sendiri juga akan menyuarakan perkara berkenaan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Bagaimanapun, terpulang kepada pihak berkuasa berkaitan sama ada mereka mahu mendedahkan laporan itu. Sudah 43 tahun, saya percaya mereka (pihak berkuasa) pasti mempunyai alasan mengapa laporan itu tidak didedahkan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau sebelum itu mewakili Mohd Shafie pada majlis memperingati insiden berkenaan di Memorial Double Six di Sembulan, di sini.

Tragedi `Double Six’ pada 6 Jun 1976 membabitkan GAF N-22B milik Sabah Air yang mengorbankan Ketua Menteri, Tun Fuad Stephens; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Peter Mojuntin; Menteri Kewangan Sabah, Datuk Salleh Sulong dan Menteri Kerja Raya dan Komunikasi Sabah, Chong Thien Vun.

Turut terkorban Setiausaha Menteri Kewangan Sabah, Datuk Wahid Peter Andu; Pengarah Perancangan Ekonomi Negeri, Dr Syed Hussin Wafa dan Setiausaha Sulit kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Ishak Atan.

Anak Fuad, Johari Fuad dan pengawal peribadinya, Koperal Said Mohammad dan juruterbang, Kapten Ghandi Nathan turut terkorban dalam nahas itu.

Insiden berlaku dalam tempoh kurang dua bulan selepas Parti Berjaya diketuai Fuad membentuk kerajaan negeri apabila berjaya menewaskan USNO pada Pilihan Raya Sabah 1976.

Difahamkan, terdapat 10 jilid laporan dibuat oleh Australian Broadcasting Corporation (ABC) berhubung nahas pesawat jenis Nomad itu di Canberra pada 1996, namun ia dikatakan disimpan rapi di sebuah lokasi tidak didedahkan.

Terdahulu, Christina berkata upacara memperingati yang diadakan secara sederhana dan penuh bermakna itu menunjukkan rakyat Sabah masih mengingati mereka yang terkorban dalam tragedi berkenaan.

“Kita berdoa Toh Puan Rahimah Stephens dan Datin Nancy Mojuntin serta keluarga lain sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera,”katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *