Perintah Berkurung Tidak Jejaskan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Di ESSZONE

Penduduk bebas bergerak menaiki bot di jeti Pasar Umum Sandakan untuk mengunjungi sanak-saudara yang tinggal di pulau sekitar Sandakan. – NSTP/Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Perintah berkurung dikuatkuasakan di Perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) tidak menjejaskan pergerakan penduduk berulang-alik ke pulau di sekitarnya untuk meraikan Aidilfitri.

Sebaliknya, penduduk bebas bergerak menggunakan bot untuk menziarahi keluarga yang tinggal di pulau sekitar daerah ini.

Tinjauan di Jeti Pasar Umum Sandakan dan Kampung Baru, Batu 7, di sini mendapati penduduk menggunakan perkhidmatan bot penambang seawal jam 7 pagi untuk ke beberapa pulau berhampiran.

Ini termasuk Pulau Tanjung Aru, Tanjung Batu, Nunuyan, Berhala, Bongon, Lubukan, Mumiang dan Abai.

Penduduk Pulau Bongon, Rozaiman Karim, 33, berkata perintah berkurung tidak mengganggu pergerakan mereka kerana ia cuma dikuatkuasakan pada waktu malam.

“Mahu ke Pulau Bongon ambil masa antara 30 minit hingga satu jam bergantung kepada kelajuan bot. Perintah berkurung tidak ganggu pergerakan kami, sebaliknya kami rasa lebih selamat kerana kehadiran pasukan keselamatan di tengah laut,” katanya kepada BH ketika ditemui.

Penduduk menggunakan perkhidmatan bot penambang di jeti Kampung Baru, Batu 7, di Sandakan untuk ke Pulau Nunuyan. – NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Pekerja kilang, Kamsah Bakri, 36, berkata dia ke Pulau Tanjung Aru untuk menziarahi ahli keluarga yang menetap di pulau terletak cuma kira-kira dua batu nautika dari pusat bandar.

Katanya, tiada yang membimbangkan sepanjang perjalanan ke pulau itu kerana ia cuma mengambil masa 10 minit untuk sampai, selain kehadiran berterusan pasukan keselamatan.

“Kadang-kadang ada pemeriksaan polis di tengah laut tetapi mereka cuma memeriksa sama ada penumpang menggunakan jaket keselamatan atau tidak. Ia usaha yang baik untuk pastikan setiap penumpang bot tidak ambil ringan isu keselamatan,” katanya.

Sementara itu, surirumah, Kazimah Moktar, 47, dia bersama tiga anaknya pergi ke Pulau Nunuyan untuk mengunjungi keluarga suaminya yang berasal dari pulau itu.

Katanya, pulau terbabit bukan berada dalam kawasan perintah berkurung kerana masih di bawah tiga batu nautika dari pesisir pantai.

“Perintah berkurung cuma selepas jam 6 petang. Biasanya, selepas jam 6 petang, tiada lagi bot penambang yang bergerak, kecuali jika ada kes kecemasan,” katanya.

Perintah berkurung di perairan tujuh daerah bermula sejak 19 Julai 2014 merangkumi Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *