Sandakan akan memperingati kejadian ‘Double Six’

SANDAKAN, 4 Jun – Lazimnya diadakan di Kota Kinabalu, upacara memperingati kejadian Double Six ke-43 akan turut diadakan di Taman Chong Tien Vun di sini pada Khamis ini.

Penganjur upacara itu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong berkata masyarakat Sandakan dialu-alukan datang untuk memberi penghormatan sempena memperingati ulang tahun ke-43 nahas pesawat ringan yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens dan beberapa menteri Kabinet negeri ketika itu.

“Upacara penghormatan akan bermula pada 9 pagi, dihadiri Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon, yang juga ADUN Tanjung Papat dan Anggota Parlimen Sandakan Vivian Wong.

“Kehadiran orang ramai pada upacara ini akan memupuk nilai menghargai dan kasih sayang dalam kalangan generasi muda, khususnya di Sabah, terhadap sejarah Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada petang 6 Jun 1976, pesawat ringan jenis Nomad buatan Australia itu, yang membawa 11 penumpang dari Labuan ke Kota Kinabalu, terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.

Tiada mangsa terselamat dalam kejadian itu dan punca nahas kekal misteri.

Nama kejadian Double Six diambil sempena tarikh kejadian itu yang berlaku pada hari keenam pada bulan keenam tahun itu.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *