Ketepikan Perbezaan Dalam Meraikan 1 Syawal

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memastikan faedah pembangunan dan kemakmuran ekonomi dapat dinikmati rakyat secara bersama dan saksama.

Dalam perutusan Aidilfitri, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata biarpun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, kerajaan negeri sentiasa berusaha mencari pelbagai langkah dengan meneroka bidang yang membantu rakyat dalam menghadapi kemelut itu.

Katanya, kerajaan terus komited menjalankan promosi produk tempatan yang boleh merancakkan lagi kemasukan pelancong ke negeri ini dengan sektor pelancongan serta perkhidmatan kerajaan kekal sebagai penyumbang utama.

“Kita juga masih berusaha agar sektor pertanian dapat diperkasakan dengan pelaksanaan Dasar Pertanian Sabah Ketiga dan penekanan terhadap bidang pemodenan industri hiliran asas tani, peningkatan produktiviti pengeluaran hasil tanaman serta perikanan.

“Selaku kepemimpinan negeri, hasrat kita adalah memastikan ini semua dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Shafie turut menyeru umat Islam agar lebih peka dan bijak dalam menyaring maklumat serta mendalami tafsiran yang murni dan benar.

Beliau berkata, antara cabaran dihadapi umat Islam pada masa kini adalah dalam aspek keselamatan dan keamanan kerana kewujudan fahaman atau ideologi esktrem, ajaran salah,

meragukan dan gerakan terrorisme.

“Sungguhpun negara kita Malaysia berada dalam kedudukan ketiga paling aman di rantau Asia, namun untuk mengekalkan keadaan itu bukanlah semudah disangka,” katanya.

Mohd Shafie turut menyeru rakyat berbilang kaum di negeri ini agar terus memperkukuh perpaduan dengan mengeratkan persaudaraan, mengetepikan segala perbezaan dan menikmati

keharmonian sedia ada dengan budaya berlapang dada. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *