Aidilfitri tetap meriah walaupun negara tanggung kerugian – Guan Eng

KUALA LUMPUR: Penangkapan Low Taek Jho atau Jho Low, dalang utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penemuan kembali kerugian RM52 bilion yang ditanggung negara sememangnya diharapkan rakyat menjelang Aidilfitri tahun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata rakyat ternanti-nanti penangkapan ahli perniagaan kontroversi itu berikutan tersebarnya khabar mengatakan dia sudah ditahan dan akan dibawa pulang ke tanah air untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

“Memang rakyat mengharapkan ‘hadiah istimewa’ ini menjelang Aidilfitri tahun 1440 Hijrah tetapi hampa apabila didapati berita ini tidak benar, namun kita percaya Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, dapat menangkap Jho Low tidak lama lagi.

“Walaupun negara menanggung kerugian RM52 bilion akibat skandal 1MDB, peruntukkan belanjawan yang diberi oleh kerajaan berhubung hal ehwal Islam tetap diteruskan, malah bertambah tahun ini.

“Kerajaan Persekutuan menambah peruntukan untuk hal ehwal Islam sebanyak RM100 juta dalam Belanjawan 2019 kepada RM1.2 bilion berbanding RM1.1 bilion dalam Belanjawan 2018, selaras dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya dalam perutusan Aidilfitri hari ini.

Selain itu, katanya, RM25 juta diperuntukkan kerajaan bagi sekolah pondok dan RM25 juta lagi kepada sekolah agama rakyat, yang tidak diberikan dalam Belanjawan 2018 di bawah kerajaan lama.

Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebaliknya memberi keutamaan kepada kebajikan, keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Tegas beliau, pendekatan itu juga mendorong pendirian peribadinya apabila menyuarakan bantahan terhadap pembinaan dua jana kuasa nuklear yang dicadangkan oleh kerajaan terdahulu.

Katanya, bantahan berkenaan dibuat atas dasar dan kesedaran betapa bahayanya bahan radioaktif serta ketiadaan kepakaran yang mampu menjamin keselamatan negara.

“Adalah dipersetujui supaya program pembinaan jana kuasa nuklear tidak diteruskan dalam negara ini demi menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Itulah sebabnya juga sisa buangan plastik dan toksik tidak dibenarkan masuk ke negara kita, sebaliknya harus dihantar pulang ke negara asal yang mengeluarkannya.

“Dasar ini juga menegaskan bahawa sisa buangan keluaran nadir bumi oleh Lynas Corporation Ltd (Lynas) dihantar balik ke Australia, lebih-lebih lagi apabila sisa buangan keluaran nadir bumi Lynas ini adalah radioaktif,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan, menjelaskan penghantaran balik sisa buangan ke negara asal selain syarat tidak membenarkan mana-mana negara mengeksport sisa buangan ke negara lain, adalah amalan menurut peraturan atau konvensyen antarabangsa.

Dalam perutusannya, Guan Eng turut menekankan aspek tadbir urus dan amalan rasuah yang patut ditolak bagi mencapai negara berintegriti.

“Kebersihan bukanlah setakat fizikal tetapi juga dalam aspek tadbir urus kerajaan yang baik supaya tidak terbabit dengan amalan rasuah dan penyelewengan kewangan, amar makruf nahi mungkar.

“DAP mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada semua umat Islam, maaf zahir dan batin,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *