Polis Lahad Datu Cari Lelaki Ini

POLIS sedang mengesan seorang lelaki warga Jordan berusia 43 tahun dipercayai melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya sebelum menghilangkan diri bersama tiga anak mereka di Kampung Muhibbah. FOTO Ihsan PDRM

POLIS sedang mengesan lelaki warga Jordan dipercayai melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya sebelum menghilangkan diri bersama tiga anak mereka di Kampung Muhibbah, di Lahad Datu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, laporan dibuat oleh wanita berusia 43 tahun berhubung tindakan suspek terhadap dirinya dan anak mereka.

Beliau berkata, menurut laporan awal, pengadu mengatakan menerima makluman daripada pekerjanya di Lahad Datu pada 18 Mei lalu, bahawa anak lelakinya dipukul oleh suspek yang berusia 43 tahun.

“Pengadu dimaklumkan anak lelaki berusia lapan tahun telah dipukul oleh suaminya sehingga menyebabkan kecederaan di muka, leher, punggung dan paha.

“Pada 20 Mei lalu, pengadu kemudian kembali ke Lahad Datu dan membawa anaknya mendapatkan rawatan di klinik swasta, namun tidak membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut kejadian itu, Nasri berkata, pada 9.30 pagi, Selasa lalu, berlaku satu pertengkaran antara suspek dengan pengadu di pejabat suspek di Fajar Centre, dekat sini.

“Suspek memaksa pengadu membuat pasport anak bongsunya untuk dibawa balik ke Jordan dan menyebabkan berlaku pertengkaran kerana pengadu tidak bersetuju.

“Suspek kemudian mengugut akan membunuh pengadu sekeluarga jika pengadu enggan memberi anak-anak kepadanya dan suspek telah bertindak membawa keluar ketiga-tiga anak mereka serta meninggalkan rumah dengan menaiki kenderaan jenis Vigo warna putih dengan nombor pendaftaran SD5641L,” katanya.

Katanya lagi, khuatir dengan keselamatan tiga anaknya, pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, Nasri berkata, pihaknya giat memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta segera menghubungi polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *